PETALING JAYA : Polis meminta individu yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual ketika berada di dalam gerabak Transit Aliran Massa (MRT) di minta tampil membuat laporan supaya tindakan dapat diambil.
Dalam klip video berdurasi 31 saat yang tular di Twitter memaparkan seorang lelaki yang memakai pelitup muka dilihat merakamkan mangsa menggunakan telefon pintar.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya mengesan video berkenaan tular di media sosial pukul 9.55 pagi hari ini.
“Polis mengesan video berdurasi 31 saat yang dimuatnaik seorang pengguna Twitter mendakwa seorang individu melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita di dalam MRT arah Cheras menuju Pusat Bandaraya.
“Sehingga kini, pihak polis masih belum menerima laporan polis berhubung kejadian ini. Pihak Polis Cheras meminta kerjasama individu yang terbabit untuk tampil membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video berkenaan yang boleh menimbulkan kekeliruan atau kegusaran awam.
“Sekiranya terdapat sebarang maklumat berhubung kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan,”jelasnya.- utusan