Lelaki maut motosikal dilanggar kereta

Lelaki maut motosikal dilanggar kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya dilanggar sebuah kenderaan dalam kemalangan di Jalan Klang Lama dari arah Puchong menghala ke Mid Valley, dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu, satu laporan diterima polis mengenai kejadian.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku pada pukul 1.05 tengah hari selepas kenderaan yang dipandu seorang lelaki berusia 20 tahun telah menukar lorong dari lorong ketiga untuk memasuki Jalan 1/137C, dekat sini.

“Mangsa lelaki berusia 51 tahun menunggang sebuah motosikal di lorong kedua laluan yang sama tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang sebelah kiri kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Amihizam berkata, kemalangan itu mengakibatkan penunggang motosikal tersebut terjatuh dan mengalami kecederaan parah di kepala serta maut di lokasi kejadian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat, diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-20719999 atau hotline trafik Kuala Lumpur di talian 0320260267/69,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN