JAKARTA: Penganjuran konsert Coldplay bukan sahaja menjadi perdebatan hangat di Malaysia, bahkan turut dirasakan di Indonesia apabila kumpulan rock terkenal dari Britain itu dikaitkan dengan imej LGBT.
Bagaimanapun, pendakwah, Ustaz Derry Sulaiman berbeza pandangan apabila merasakan konsert yang akan diadakan di Stadium Gelora Bung Karno, 15 November depan bukan suatu masalah.
Sebaliknya, kata Derry yang merupakan bekas penyanyi rock, dia teringin hadir ke konsert itu sekiranya mempunyai peluang dengan tujuan berdakwah.
“Kalau ada kesempatan masuk ke dalam, aku mahu pakai pakaian ini.
“Ya, mudah-mudahan ada yang lihat dapat hidayah,” katanya memetik laporan Suara.com.
Derry berkata, sikap tersebut juga sekali gus menunjukkan Islam adalah agama yang memuliakan tetamu.
“Ini adalah kesempatan kita menunjukkan bagaimana akhlak dan sikap umat Islam, orang Indonesia dalam memuliakan tetamu,” katanya.
Ditebak isu LGBT, Derry berkata, dia tahu ramai yang menentang kumpulan tersebut kerana permasalahan itu.
Namun, katanya, fokus sebenar dari konsert Coldplay adalah tentang soal muzik dan bukan isu yang dibawa penyanyi lagi Yellow itu.
“Aku juga tidak bersetuju dengan kempennya sehingga ramai yang menentang.
“Cuma kalau daripada muziknya, itu kan sudah terbukti mereka adalah kumpulan nombor satu. Tiketnya berjuta-juta (rupiah) orang hendak beli,” katanya.