Konsert Coldplay: Kerajaan gubal akta baharu kawal ulat tiket 

Konsert Coldplay: Kerajaan gubal akta baharu kawal ulat tiket 

FAHMI Fadzil pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menggubal akta baharu bagi mengawal selia aktiviti melibatkan ulat tiket yang melibatkan transaksi tunai atau secara dalam talian.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, ini kerana Malaysia masih belum mempunyai undang-undang bersifat anti ulat tiket atau mengekang kegiatan itu dari terus berlaku. 

Katanya, penggubalan akta tersebut juga mengambil kira keperluan mengekang aktiviti di semua sektor ekonomi dengan pelaksanaannya dibuat secara merentas kementerian.

Jelasnya, ia mengambil kira peruntukan perundangan dan pengalaman pelbagai insiden berkaitan ulat tiket di Amerika Syarikat (AS) dan Australia yang akan disesuaikan dengan ruang lingkup Malaysia. 

“Kita akan melihat kepada peruntukan perundangan yang perlu diwujudkan bagi mengelak isu berkaitan ulat tiket ini timbul di masa hadapan.

“Malaysia ketika ini belum ada undang-undang bersifat anti ulat tiket. Oleh demikian, kita akan teliti bersama kementerian lain yang mungkin menganjurkan aktiviti atau program, membabitkan aspek penjualan tiket secara dalam talian atau tunai,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub turut serta dalam sidang media itu hari ini. 

Baru-baru ini, beberapa individu dipercayai kumpulan pembeli tiket hantu dikatakan menjual semula tiket konsert siri jelajah kumpulan rock, Coldplay iaitu Music Of The Spheres World Tour (MOTSWT) di Stadium Bukit Jalil pada 22 November ini dengan harga mencecah RM43,200.

Difahamkan, tiket tempat duduk kategori 1 berharga RM1,288 seperti tertera dalam laman sesawang rasmi GoLive-Asia, namun kumpulan ‘scalper’ mengambil kesempatan dengan menjual tiket berkenaan pada harga tidak masuk akal.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, penggubalan akta itu akan dibuat sebaik selesai siasatan berkaitan aktiviti ulat tiket bagi penjualan tiket konsert Coldplay. 

Katanya, menerusi hasil siasatan itu memberi gambaran lebih jelas untuk kerajaan merangka perincian peruntukan perundangan yang diperlukan. 

“Kerajaan juga perlu meneliti konsep penjualan tiket dengan takrifan lebih tepat dan menyeluruh selepas mengadakan siri perbincangan bersama agensi dan kementerian berkaitan,” katanya. 

Sementara itu, Salahuddin pula berkata, pihaknya menerima 28 aduan tidak rasmi yang mendakwa wujud penjualan semula tiket Coldplay menerusi muat naik di pelbagai saluran media sosial. 

“Jika mangsa benar-benar ada bukti, datanglah kepada KPDN dan kerajaan akan siasat. Ketika ini, penganjur masih belum mengeluarkan e-tiket dan kalau ada penjual dakwa sudah terima tiket, maka ia adalah penipuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN