KUALA LUMPUR: Tidak pernah membuat sebarang pendedahan tentang hubungan istimewa, namun kelibat pelakon, Sharnaaz Ahmad, 37, bersama seorang wanita semasa tayangan filem Polis Evo semalam mencuri perhatian ramai.
Berjalan merangkul lengan bersama pelakon baharu, Amelia Christie, 23, Sharnaaz bagaimanapun selesa memperkenalkan wanita itu sebagai kawan.
“Tiada apa-apa. Saya dan dia masih dalam fasa berkawan,” katanya kepada Utusan Malaysia semasa ditemui di majlis tayangan perdana filem Polis Evo 3.
Menjawab dakwaan segelintir pihak yang mengatakan Sharnaaz suka mengongkong kekasih, pelakon itu berpendapat ia bergantung kepada cara kongkongan yang dimaksudkan.
“Saya rasa kalau kita kawal, saya yang kawal. Yang kamu sibuk nak buat apa. Suka hatilah saya nak buat apapun,” katanya berseloroh.
Menurutnya, kongkongan tidak semuanya bermaksud jahat, ia juga menandakan seseorang itu peduli.
“Bagi saya ‘control’ tanda peduli. Kalau kita tak kawal, baik kita tak payah peduli. Ikut dialah nak jadi apa dan nak buat macam mana. Itu hak dia.
“Kawal ada banyak fasa. Kalau kita kawal, tandanya kita mahu dia jadi yang terbaik. Kalau kita control sebab merepek, jadi merepeklah ia.
“Kalau control ke arah kebaikan, apa salahnya,” tambahnya lagi.
Ditanya bagaimanakah keakraban Amelia bersama anaknya, Jebat Jaydeen, Sharnaaz berpendapat ia boleh diteruskan.
“Dia dan Jebat nampaknya boleh diteruskan, kita tengok sejauh mana kita boleh pergi,” tambahnya.
Terdahulu, Sharnaaz dikhabarkan sedang berkawan rapat dengan Amelia Christie seperti yang pernah diperkatakan oleh rakan bekas isterinya. Namun begitu, Sharnaaz enggan berkongsi secara terperinci tentangnya.