SEREMBAN: Kerajaan yang dibentuk hari ini perlu berada dalam kuat dan stabil bagi memastikan ekonomi negara dapat dibangunkan sekali gus membela nasib rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan syarikat automotif Geely dan Amazon Web Service yang membuat pelaburan besar di negara ini adalah berdasarkan keyakinan syarikat berkenaan dengan kestabilan politik negara ini.
“Mereka yakin dengan pimpinan dan kestabilan, yakin dasar dan masa depan Malaysia, itu sebab sangat penting kita tekankan kestabilan politik.
“Ada menteri-menteri dulu yang katakan itu adalah dasar mereka, saya tidak nafikan ada yang memujuk dan pergi ke Amazon tetapi mengapa Amazon tidak jawab? jawab hanya setelah Kerajaan Perpaduan dibentuk dan kita stabil, baru mereka datang ke sini.
“Kestabilan politik itu mesti kita pertahankan, sebab itu ada ura-ura mahu ambil alih (kerajaan) saya katakan boleh, Parlimen akan bersidang, saya cadangkan mana-mana orang, Ahli Parlimen, mana-mana parti yang rasakan mereka mahu ajukan undi tidak percaya, silakan dan kita akan bertempur di Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sembilan dan Malaysia Madani di pekarangan Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di Forest Heights, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Perdana Menteri menjelaskan, cabaran yang dilontarkan beliau itu adalah bagi mematikan keluh kesah soal kestabilan politik dalam negara dan seterusnya tumpuan diberikan bagi menjaga dan membela kebajikan rakyat.
“Jika tidak riuh rendah, bisik sana bisik sini, 126, 114 , ini apa, dan saya berikan laluan, dahulu mahu bawa usul tidak boleh kerana Perdana Menteri dahulu isytiharkan darurat dan kemudian gantung Parlimen.
“Perdana Menteri sekarang, saya tidak gantung Parlimen, tidak ada darurat, lawan di Parlimen, itu baru cara kita tadbir, sebab apa? kita mahu matikan keluh kesah soal kestabilan politik ini, supaya tumpun membela nasib rakyat dan jaga kebajikan rakyat,” katanya.
Anwar menambah, kerajaan hari ini akan terus dipertahankan dan akan memastikan ia kuat serta stabil memacu ekonomi negara dan sekaligus membela nasib rakyat.
“Ada yang katakan saya sebagai Perdana Menteri paling teruk dalam sejarah, ya, teruk sebab apa? sebab saya tidak ‘sakau’, saya tidak zalim dan menindas mana-mana kalangan, sebab itu dalam peruntukan kita tambah untuk Negeri Sembilan, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu, apabila kita basmi kemiskinan, kita basmi untuk semua,” katanya.-UTUSAN.