PETALING JAYA: Dari depan rumah seorang penduduk kampung di Pulau Meranti, Puchong bersebelahan sebuah bengkel bas, kelihatan banyak kenderaan pacuan empat roda lalu-lalang membawa keluar berikat-ikat sayur kacang panjang dan kailan.
Setiap kali kenderaan berbeza melintas, jelas raut wajah pemandunya bukan warga Malaysia, sebaliknya mirip warga asing. Mereka memandu pacuan empat roda yang masih baharu.
Tertanya-tanya juga siapa punya kenderaan itu? Bolehkah warga asing membuat pinjaman bank membeli kereta atau mereka membelinya secara tunai atau mereka pinjam?
Itu antara pengalaman saya meluangkan masa hampir lima bulan sejak Oktober 2022 membuat tinjauan warga asing yang mengusahakan kebun sayur di bawah pencawang elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta di atas tanah kerajaan.
Saujana mata memandang, begitulah luasnya kebun-kebun yang diusahakan. Ada petak yang ditanam sayuran berdaun seperti sawi dan kailan dan ada juga sayuran eksotik kegemaran warga Bangladesh seperti kakrol yang berduri, pavral dan petola ular.

Sewaktu bersama-sama penduduk kampung itu meredah jalan becak melintasi kebun untuk ke rumah kongsi yang didirikan, sempat juga bertegur sapa dengan pekerja yang diupah menguruskan kebun.
Setiap kali ditanyakan, siapakah tauke mereka, masing-masing akan menjawab dengan: “Taukeh saya orang tempatan, dia bayar gaji sama saya.”
Pernah sekali, saya dan jurugambar terserempak dengan kira-kira 10 warga Nepal mengusung guni yang sarat. Rupa-rupanya, mereka baru selesai mencari lokan di lombong dan sungai berselut di kawasan itu. Nampak kesungguhan mereka ini dalam bekerja.
Saya tidak mempertikaikan bahawa kerajinan mereka itu telah membawa kesenangan kepada mereka, cuma terkenangkan nasib warga tempatan yang terpaksa membanting tulang untuk memastikan dapur berasap dan membayar pelbagai komitmen bulanan manakala warga asing Pulau Meranti pula mendirikan rumah kongsi haram tanpa bimbang dikejar pihak bank.
Di keliling rumah kongsi ini pula ada sumber makan percuma, ada reban ayam, ada sungai dan lombong yang penuh ikan patin, ikan lampam dan lokan yang besar-besar.
Pernah saya berbual dengan tauke sayur dikenali sebagai Lasuwi, seorang warga Indonesia. Ujarnya, dia mula berhijrah ke kawasan itu sejak tahun 2000 dan pernah menggajikan 10 pekerja warga Indonesia untuk mengusahakan petak-petak sayur yang ‘dimilikinya’.
Permit Lasuwi sudah tamat tempoh tetapi dia masih mengaut hasil bercucuk tanam di Malaysia.
Begitu juga dengan Jamal, warga Bangladesh yang kini hidup senang selepas bersusah-payah dan bekerja keras mencari pengalaman dan kenalan.
“Pada asalnya dia tolong warga tempatan usahakan kebun sayur. Apabila semakin maju, maka semakin banyak upah yang Jamal terima. Wang yang dikumpul itu, ditambah dengan pengalaman berkebun, memberikan Jamal idea untuk berdikari.
“Dia kemudian dapat maklumat, ada tanah rizab TNB untuk diusahakan di Pulau Meranti. Dari situlah, Jamal bina kejayaan,’’ cerita seorang pekerjanya.
Kenapa kita tidak rebut peluang seperti direbut Jamal dan Lasuwi? Timbul dilema adakah tinjauan terhadap warga asing di Pulau Meranti dibuat untuk perbaiki keadaan atau saya cemburu? – UTUSAN










