SEREMBAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan pembangkang kononnya kerajaan yang ditadbirnya hari ini mengetepikan kepentingan dan hak orang Melayu di negara ini.
Perdana Menteri menegaskan, kerajaan tidak pernah mengkhianati kepentingan orang Melayu sebaliknya terus mempertahankannya menerusi tindakan yang lebih teratur dan telus.
“Apa saya khianat kepada orang Melayu? bahasa Melayu, hak keistimewaan orang Melayu? projek untuk Melayu kami pertahankan dan (projek) sedia ada Jana Wibawa, untuk orang Melayu, kami ambil tindakan sebab apa, ia projek orang Melayu tetapi diberikan kepada orang Cina, projek Melayu tetapi mereka ‘sakau’ duit.
“Projek tebatan banjir, kerana kita jimat dan laksanakan secara teratur, kita jimat RM2 bilion malah tambah lagi projek di Kota Tinggi dan Batu Pahat di Johor serta Sungai Golok di Kelantan, itupun mereka kata kita zalim kepada orang Kelantan.
“Itu saya katakan tata kelola, jaga wang negara, jangan sakau, jangan ambil wang itu penting, sebab kalau ambil, projek jadi kurang, rakyat tidak dapat habuan,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sembilan dan Malaysia Madani di pekarangan Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di Forest Heights, di sini, semalam.
Sementara itu Perdana Menteri berkata, kerajaan yang dibentuk hari ini perlu berada dalam kuat dan stabil bagi memastikan ekonomi negara dapat dibangunkan sekali gus membela nasib rakyat.
Menurut Anwar, pelaburan syarikat automotif Geely dan Amazon Web Service yang membuat pelaburan besar di negara ini adalah berdasarkan keyakinan syarikat berkenaan dengan kestabilan politik negara ini.
“Ada menteri-menteri dulu yang katakan itu adalah dasar mereka, saya tidak nafikan ada yang memujuk dan pergi ke Amazon tetapi mengapa Amazon tidak jawab? Jawab hanya setelah Kerajaan Perpaduan dibentuk dan kita stabil, baru mereka datang ke sini,” katanya. – UTUSAN










