Kerajaan Sabah nafi dakwaan lengahkan RUU Anti Lompat Parti

Kerajaan Sabah nafi dakwaan sengaja lengahkan RUU Anti Lompat Parti

HAJIJI Noor (kiri) bersama Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya semasa pra-mesyuarat DUN Sabah di Kota Kinabalu hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menafikan dakwaan pembangkang bahawa kerajaan sengaja melengahkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, undang-undang Anti Lompat Parti melibatkan pindaan Perlembagaan Sabah dan ia memerlukan kelulusan Yang Dipertua Negeri dan Yang di-Pertuan Agong sebelum dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Jadi, dakwaan pembangkang bahawa kita sengaja melengahkannya tidak benar. Kita perlu mematuhi segala prosedur.

“Kerajaan negeri bukan sengaja hendak melengahkan pembentangan RUU yang boleh menghalang wakil rakyat bertukar parti,” katanya semasa pra-mesyuarat DUN hari ini.

Beliau berkata, RUU pindaan Perlembagaan Negeri memerlukan sokongan majoriti dua pertiga ahli Dewan bagi membolehkan ia diluluskan.

“Saya yakin RUU ini akan mendapat sokongan penuh daripada ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH).

“Justeru, saya menyeru wakil rakyat pembangkang supaya menyokong RUU ini kerana mereka juga mahu undang-undang Anti Lompat Parti itu diluluskan di Sabah,” katanya.

Menurut Hajiji, RUU Anti Lompat Parti itu akan dibentangkan pada persidangan DUN Sabah yang akan bermula esok.

Beliau berkata, pindaan RUU Perlembagaan Negeri antara empat RUU yang akan dibentangkan sepanjang empat hari sidang DUN Sabah berlangsung pada 22 hingga 25 Mei ini.

Selepas pra-mesyuarat itu, Hajiji turut menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku di dua lokasi berasingan.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang DUN Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyatakan sekiranya kerajaan negeri tidak membentangkan RUU Anti Lompat Parti pada sidang DUN kali ini, beliau bersedia membentangkan usul persendirian.- utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya