Kerajaan Persekutuan lulus peruntukan awal naik taraf Jalan Raya Timur Barat - Utusan Malaysia

Kerajaan Persekutuan lulus peruntukan awal naik taraf Jalan Raya Timur Barat

ALEXANDER Nanta Linggi (tiga dari kiri) meninjau lokasi kerap berlaku kemalangan yang dikenali 'Selekoh Tyson' di Jalan Teluk Intan-Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Kementerian Kerja Raya memberi peruntukan awal RM30 juta bagi menaik taraf Jalan Raya Timur Barat sepanjang 123 kilometer yang menghubungkan Gerik, Perak dan Jeli, Kelantan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, peruntukan itu dikeluarkan bagi menaik taraf jalan raya berusia lebih 40 tahun itu di laluan bahagian Perak.

“Selain itu, sebanyak RM7.44 juta telah diperuntukkan untuk kerja-kerja penyelenggaraan di laluan tersebut.

“Kerja-kerja penyelenggaraan melibatkan kerja berkala penurapan sedang giat dilaksanakan secara berperingkat,” katanya kepada pemberita dalam lawatan kerja meninjau ‘Selekoh Tyson’, Batak Rabit, di laluan Teluk Intan-Bagan Datuk di sini hari ini.

Isu keadaan jalan raya yang tidak rata, berlubang dan kurang penyelenggaraan di Jalan Raya Timur Barat khususnya di laluan bahagian Perak serta kerap berlaku kemalangan, sering diluahkan pengguna jalan raya tersebut di media sosial.

Berikutan itu, Kerajaan Perak membuat permohonan peruntukan RM80 juta kepada Kerajaan Persekutuan pada tahun lalu, untuk menaik taraf jalan raya yang menghubungkan kawasan utara Semenanjung dengan Pantai Timur Semenanjung itu.

Pada Mac lalu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, menyatakan rasa terkilan dengan kenyataan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yang memberitahu tidak menerima permohonan daripada kerajaan negeri bagi menaik taraf laluan itu di Parlimen baru-baru ini.

Berdasarkan hansard Parlimen bertarikh 28 Februari lalu, Abdul Rahman dilaporkan memberitahu bahawa Kementerian Kerja Raya tidak menerima permohonan menaik taraf jalan tersebut daripada Kerajaan Kelantan, Perak dan Kedah pada rolling plan ketiga (RP3), Rancangan Malaysia Ke-12.

Menurut Alexander, kementerian itu sentiasa peka dengan isu yang dibangkitkan pengguna jalan raya dan kerajaan negeri berkenaan laluan tersebut yang telah uzur, yang mula dibina pada 1970 dan dibuka secara rasmi pada 1982.

Beliau menjelaskan kementerian itu akan berusaha memberi kerjasama dan perkhidmatan terbaik dalam menyediakan kemudahan infrastruktur selamat dan selesa.

Dalam pada itu, menurutnya, setakat lima bulan pertama tahun ini, sebanyak RM42.46 juta diperuntukkan bagi penyelenggaraan 1,514 km Jalan Persekutuan di Perak.

Katanya, peruntukan itu adalah bagi kerja-kerja penyelenggaraan rutin, turapan berkala, turapan bukan berkala serta lain-lain termasuk kerja penyelenggaraan kecemasan.

Pada masa sama, jelasnya, terdapat beberapa projek menaik taraf melibatkan jambatan di Jalan Persekutuan sedang dilaksanakan iaitu menggantikan jambatan Sungai Bogak, Kerian; penggantian jambatan Sungai Air Puteh, Larut Matang dan Selama; menggantikan jambatan di Manjung serta menggantikan jambatan Sungai Kinchap, Kampar.

Beliau memberitahu, semua projek tersebut dijangka siap antara Jun tahun ini sehingga Jun 2025.

Mengenai ‘Selekoh Tyson’ sepanjang satu kilometer yang sering berlaku kemalangan, Alexander mengumumkan peruntukan RM1.7 juta bagi menaik taraf laluan tersebut.

“Sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja penurapan dan menaik taraf jalan manakala RM200,000 untuk penyediaan lampu jalan di laluan tersebut,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya