PETALING JAYA: Kerajaan memberi komitmen akan terus memberikan dukungan penuh dan berterusan kepada segala usaha yang bertujuan untuk memperkasa kaum wanita khusus melibatkan sektor ekonomi, kewangan, dan sosial, menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, beliau percaya dengan pelbagai inisiatif dan program yang dirangka, golongan wanita akan terus diberi peluang yang adil dan saksama untuk berjaya dalam pelbagai bidang.
“Selamat maju jaya buat Associated Country Women of the World (ACWW) atas usaha dalam memartabatkan serta meningkatkan kedudukan wanita di peringkat global.
“Keberadaan kalian sebagai wadah pertemuan dan wacana bagi wanita-wanita dari pelbagai negara merupakan sumber inspirasi yang terbesar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Anwar bersama isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menghadiri majlis perasmian pembukaan Persidangan Dunia Ke-30 ACCW di sebuah hotel di Putrajaya.
Majlis itu disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau mengharapkan kerjasama dan pertukaran idea itu dapat memperluaskan ruang gerak serta peluang untuk memajukan hak dan kepentingan wanita di dunia, khususnya di Malaysia.
“Semoga persidangan ini berjalan dengan lancar dan sukses sepenuhnya. Teruskan usaha mulia kalian dalam membawa wanita ke tahap yang lebih tinggi dalam masyarakat. Kejayaan wanita adalah kejayaan negara dan dunia,” jelasnya. – UTUSAN