Kerajaan akan kemas isu penguatkuasaan dasar penggunaan kalimah Allah - Utusan Malaysia

Kerajaan akan kemas isu penguatkuasaan dasar penggunaan kalimah Allah

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan akan memperkemas isu-isu penguatkuasaan terhadap dasar penggunaan kalimah Allah dan memutuskan untuk mempersembah cadangan-cadangan kepada Majlis Raja-Raja.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, ini bagi memastikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana peruntukan Perlembagaan akan terus terpelihara di samping mengekalkan perpaduan dan keharmonian di antara kaum dan agama di Malaysia.

Jelas Presiden UMNO itu, susulan pertemuannya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dan beliau menyatakan komitmen untuk terus mempertahan ketetapan dasar kerajaan berkenaan isu penggunaan kalimah Allah sebagaimana yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2014 

“Pagi tadi, sebelum mesyuarat Kabinet bermula, saya bersama Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (Setiausaha Agung UMNO) telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri bagi menzahirkan pandangan dan pendirian akar umbi UMNO terhadap isu kalimah Allah.

“Alhamdulillah, Perdana Menteri menyatakan komitmen untuk terus mempertahan ketetapan dasar kerajaan berkenaan isu penggunaan kalimah Allah sebagaimana yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2014,” katanya dalam Facebook beliau.

Anwar sebentar tadi memberitahu, Jemaah Menteri hari ini mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembah cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja.

Katanya, langkah itu bagi menyelesaikan isu tersebut secara menyeluruh dan bersepadu.

Terdahulu, Anwar memaklumkan mesyuarat Jemaah Menteri hari ini membincangkan keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah Allah.

Dalam hal itu katanya, Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa keputusan yang dibuat hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak merubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2014.

Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN