Kenaikan OPR pengaruhi rakyat berjimat - PM

Kenaikan OPR pengaruhi rakyat berjimat – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan mempengaruhi rakyat Malaysia supaya lebih berhati-hati dalam berbelanja sekali gus dapat meningkatkan simpanan mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan OPR itu berlaku apabila permintaan barangan dan perkhidmatan terlalu tinggi berbanding bekalan, harga akan cenderung untuk meningkat.

Sambil menjelaskan salah faham berhubung peningkatan OPR akan menyebabkan inflasi lebih tinggi, beliau berkata, ia sebenarnya mampu menyesuaikan permintaan kepada tahap yang lebih setara dengan bekalan seterusnya membantu mengurangkan tekanan terhadap kenaikan harga barangan.

“Peningkatan OPR pada Mei 2023 selepas dihentikan seketika pada Januari dan Mac 2023 bukan bertujuan merencatkan usaha pemulihan ekonomi negara, sebaliknya ia bertujuan memastikan ekonomi Malaysia kekal sihat dan berkembang secara mampan, serta inflasi kekal terkawal bagi tempoh masa yang berpanjangan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau berkata demikian bagi mengulas soalan Riduan Rubin (BEBAS-Tenom) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan mekanisme penampan yang dirangka pihak kementerian bagi menangani kesan negatif kenaikan OPR kepada tiga peratus.

Kesan itu akan meningkatkan kadar inflasi, mengurangkan keupayaan pemilikan modal, kenaikan kadar faedah dan pengurangan akses kepada pinjaman yang sudah pasti akan membebankan rakyat dan merencatkan usaha pemulihan ekonomi negara.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, jika keadaan inflasi menjadi tidak terkawal, kuasa beli bagi semua isi rumah, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah, kuasa beli simpanan penabung dan pesara akan merudum akibat kenaikan harga yang mendadak.

Justeru, katanya, impak kewangan dari segi kejatuhan kuasa beli akibat inflasi yang tinggi dan tidak terkawal adalah jauh lebih buruk dan meluas berbanding kesan daripada kenaikan OPR secara terkawal dan beransur-ansur pada 2022.

“Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus memantau keadaan yang berubah-ubah terutamanya persekitaran global seperti tekanan harga, pertumbuhan ekonomi global, keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara ketara termasuk tekanan yang berterusan dalam sektor perbankan dan kesannya terhadap prospek pertumbuhan ekonomi dan inflasi di Malaysia,” jelas beliau.

Perdana Menteri memberitahu, Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia yang terkini iaitu pada 3 Mei lalu telah memutuskan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas daripada 2.75 peratus kepada 3.00 peratus.

Katanya, meskipun kenaikan OPR memberi kesan ke atas ansuran bulanan bagi pinjaman yang berasaskan pinjaman berkadar terapung, perlu ditekankan bahawa langkah kenaikan OPR secara beransur-ansur oleh BNM adalah keputusan yang diambil dengan sangat berhati-hati.

Jelas beliau, sejajar dengan pemulihan kegiatan ekonomi, wujud tekanan harga yang didorong oleh permintaan yang kukuh.

“Penyelarasan dasar makro telah dilaksanakan agar negara tidak mengalami tekanan dari segi pertumbuhan ekonomi yang tidak mampan dan tekanan harga yang melampau terutamanya pada masa hadapan berikutan dasar makro yang tidak bersesuaian.

“Susulan tindakan tersebut, kadar inflasi yang memuncak ke paras 4.7 peratus pada Ogos 2022 telah berkurangan secara beransur-ansur kepada 3.6 peratus pada Mac 2023,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.