Kawasan perkelahan diserbu - Utusan Malaysia

Kawasan perkelahan diserbu

Orang ramai dinasihat tidak berkunjung ke sungai atau air terjun ketika musim monsun timur laut. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Kawasan perkelahan sekitar di Hulu Dungun dekat sini menjadi tumpuan orang ramai untuk mandi-manda berikutan keadaan cuaca panas.

Tinjauan di beberapa lokasi termasuk Sungai Kelemin, di Kampung Minda dan Air Terjun Lubuk Kain dekat Kampung Shukor mendapati, jumlah pengunjung berganda berbanding hari biasa.

Pengerusi Koperasi Shukor Membangun, Zakaria Mahusin berkata, kawasan perkelahan Lubuk Kain menerima lebih 2,000 pengunjung setiap hari sejak hari pertama Aidilfitri berbanding 200 pengunjung pada hari biasa.

“Musim panas, memang ramai orang datang mandi dan berkelah di kawasan ini. Biasanya kalau hari biasa, memang agak kurang pengunjung terutamanya kalau hari bekerja.

“Sekarang ini, kalau hari be­kerja ramai yang datang. Ada yang datang selepas waktu bekerja dan ada yang datang awal pagi meluangkan masa bersama keluarga,” katanya ketika ditemui semalam.

Zakaria berkata, pihaknya yang menguruskan kawasan perkelahan tersebut sentiasa memastikan ia berada dalam keadaan bersih.

Salah seorang pengunjung, Azlinda Suhaimi, 46, berkata, dia bersama suami yang sedang bercuti di negeri ini membawa tiga anaknya mengunjungi kawasan perkelahan itu untuk menyejukkan badan.

“Sebenarnya kami merancang untuk pergi ke pulau, namun bila cuaca panas, kami terpaksa tukar perancangan dengan membawa anak-anak ke kawasan air terjun yang lebih redup,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN