“SEINGAT saya, dari darjah empat lagi saya sudah berdoa mahu menjadi kartunis,” kata Sukun, kartunis yang terkenal dengan siri Workshop suatu ketika dulu ketika bercerita tentang kerjaya didambakannya sejak dulu lagi.
Itu sudah cukup menceritakan cintanya yang begitu mendalam terhadap apa yang dilakukan dari dahulu sehingga sekarang. Maka, tidak hairanlah walau sudah lebih 30 tahun bergelumang dengan seni lukis, dia belum lagi mahu bersara.
Malah, pasang surut dalam industri menjadi lumrah, alah bisa tegal biasa walaupun pernah terfikir untuk mencari kerja lain.
Apa yang penting, kata Sukun atau nama sebenar Md. Hanafi Othman, seseorang anak seni itu perlu sentiasa mengikuti perkembangan semasa dengan segala teknik atau peranti mahupun aplikasi yang boleh digunakan dalam bidang seni lukis.
“Kita perlu pelajari teknologi zaman sekarang dengan cara lukisan digital. Ikut peredaran zaman.
“Jangan takut pelajari dunia baharu. Tambahan bakat telah dikurnia oleh-Nya. Jadi teruskan sahaja,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Dia mula melukis kartun sejak 1990 sehingga bergerak bebas sekitar tahun 2000 dapat melihat perubahan zaman dalam industri yang adakalanya mengecewakan.
Menurut anak jati Muar, Johor ini, kekecewaan itu disebabkan tiada unsur-unsur kenegaraan dan bangsa yang terselit dalam karya moden hasil kartunis pada zaman ini.
“Ada lukisan yang terhasil seakan-akan komik dari Jepun sahaja. Tiada diselitkan unsur kebudayaan atau kenegaraan. Kalau dilihat pada karya Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid atau Lat, bukan sahaja ada unsur etnik dan budaya sahaja, tetapi turut mempunyai lukisan berbentuk seni bina dan ada menunjukkan suasana.
“Berbanding sekarang ini, kita lihat adakalanya terlampau teruk. Nak tiru sampai tiada identiti sendiri. Malah kartun nampak sama daripada empat kartunis berbeza,” katanya.
Walaupun kelihatan cantik, pada Sukun sesebuah karya tiada apa-apa nilai disebabkan hasil kartun yang ditiru.
Justeru katanya, apa yang penting seseorang itu perlu sentiasa belajar dan mempunyai identiti kartun sendiri untuk terus diingati.
Sukun kini bakal menerbitkan karya kedua tahun ini bagi meneruskan minatnya dan memastikan karya-karya baharu terus terhasil selagi mana dia mempunyai kudrat.
“Kita kena sentiasa aktif, jangan berhenti melukis lama sangat agar peminat dapat mengikuti perkembangan kita.
“Di samping itu, kita perlu buat cara lain. Sebagai contoh, lagi seminggu sebelum pelancaran, kita boleh buat promosi di ruang-ruang atau kedai. Selain itu, peminat boleh jumpa secara berdepan-depan dan berbual dengan kita secara lebih dekat,” terangnya.
Selain melukis, Sukun seringkali dijemput untuk melukis di sekolah selain menjadi juri bagi pertandingan melukis.
Biarpun berdepan liku-liku dalam bidang seni lukisan kartun ketika ini, Sukun mengambil pendirian dan cara berfikir yang lebih positif untuk terus bergerak dalam industri ini
“Bagi yang berfikiran terbuka sebenarnya, dia akan lebih maju sebab macam-macam sekarang yang boleh buat dengan menggunakan digital.
“Kalau masih harapkan cara lama, ia akan pupus. Cuma saya tidak rasa industri kartun akan pupus sebab ia terus berkembang. Boleh sahaja menggunakan media sosial untuk bergerak,” katanya. – Mingguan Malaysia
Kartun perlu ada identiti sendiri – Sukun
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
- 21 Mei 2023, 5:14 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Gangguan seksual – Jangan tanya kenapa ‘terpilih’, bersuaralah!
13 Oktober 2024, 9:13 am
Bahana, lagi bahaya bila buat ‘tak kisah’
22 September 2024, 9:41 am
Segera keluar daripada ‘perangkap’ pendidikan
22 September 2024, 8:15 am