Johor guna 1,500 CCTV teknologi tinggi

Johor guna 1,500 CCTV teknologi tinggi

ONN Hafiz Ghazi (tengah) dan Mohd. Jafni Md. Shukor (baju putih( menyertai Program Gotong-Royong Johor Bersih di Legaran Sungai Segget, Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dalam usaha merealisasikan agenda Johor Selamat, kerajaan negeri meluluskan pembelian 1,500 sistem kamera litar tertutup (CCTV) untuk dipasang di tiga bandar raya di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, pemasangan itu melibatkan 500 unit di setiap kawasan pentadbiran tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) selaras dengan agenda ‘The Greater Johor Bahru’.

Katanya, inisiatif tersebut bagi menggantikan kamera yang rosak termasuk peranti tidak berfungsi yang ditempatkan di kawasan tumpuan orang ramai.

“Di peringkat kerajaan telah meluluskan kertas kerja dalam ‘The Greater JB’ melibatkan MBJB, MBIP, MBPG dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu). Tiga bandar raya telah mendapat kelulusan untuk membeli 500 unit kamera AI setiap bandar raya, manakala MPKu sebanyak 100 unit.

“CCTV ini menggunakan kamera AI, iaitu menggunakan teknologi tinggi yang boleh scan (mengecam) wajah, nombor plat kereta dan data-data yang kita peroleh melalui apa yang kita imbas itu.

“Ia mempunyai pusat kawalan yang ada pautan dengan pusat kawalan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pelaksanaan penguatkuasaannya bukan sahaja di peringkat PBT malah melibatkan polis,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Gotong-Royong Johor Bersih Perdana Bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Legaran Sungai Segget, di sini, semalam.

Mohd. Jafni berkata, pemasangan CCTV di semua PBT berkenaan dilaksanakan menjelang hujung tahun ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sepanjang tempoh Februari hingga April lalu, MBJB mengeluarkan 10 kompuan RM500 dan 250 notis amaran ke atas individu sebagai tindakan penguatkuasaan kerana kesalahan membuang sampah di kawasan yang tidak dibenarkan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×