Jeti Kuala Kedah dinaik taraf hujung tahun ini

Jeti Kuala Kedah dinaik taraf hujung tahun ini

ANTHONY Loke (kanan) bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua kanan) melihat lakaran projek naik taraf Terminal dan Jeti Penumpang, Kargo dan RORO Kuala Kedah di Alor Setar. -UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Setelah beberapa tahun tertangguh, projek naik taraf Terminal Jeti Kuala Kedah, di sini akan dimulakan pada penghujung tahun ini sebelum dijangka siap sepenuhnya pada 2026.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tender bagi projek itu akan diiklankan pada 6 Jun ini yang melibatkan kerja meroboh, membina, menaik taraf terminal dan jeti penumpang, kargo serta feri roll-on roll-off (RORO).

“Projek ini adalah demi meningkatkan kecekapan pengoperasian feri penumpang, kargo dan perkhidmatan RORO di laluan marin Kuala Kedah ke Langkawi di mana ia membantu pemulihan industri pelancongan di permata Kedah. 

“Skop utama projek melibatkan kerja meroboh dan membina terminal baharu berkonsepkan teknologi hijau yang mampu menampung sebanyak 3,000 penumpang berbanding kapasiti sedia ada hanya 800 penumpang sahaja,” katanya dalam sidang akhbar ketika mengadakan lawatan di Terminal Jeti Kuala Kedah, di sini hari ini. 

Beliau menambah, projek naik taraf itu juga melibatkan pembinaan tempat letak kereta bertingkat dengan anggaran 420 lot serta infrastruktur, fasiliti bangunan dan kerja landskap.

Menyentuh tentang kelewatan projek naik taraf itu yang sepatutnya bermula pada 2020 kata Anthony, ianya disebabkan isu teknikal selain penularan pandemik Covid-19 ketika itu. 

“Seperti kita lihat jeti ini agak usang. Sebenarnya saya pernah sampai ke jeti ini beberapa tahun lalu ketika itu memang ada juga usaha naik taraf dengan Kementerian Pengangkutan melantik juru perunding pada 2020.

“Pada 2020 sehingga kini projek ini sepatutnya sudah berjalan tetapi pelbagai perkara berlaku terutama Covid-19, banyak kerja tertangguh dan apabila tender dibuka pada 2021 ada isu teknikal sebelum Kementerian Kewangan meminta kita buka tender semula tahun lalu,” katanya.

Katanya, operasi pengangkutan feri di Kuala Kedah akan dipindahkan sementara ke tapak bersebelahan terminal berkenaan ketika kerja-kerja naik taraf dilakukan.

Sementara itu, beliau menafikan projek berkenaan sekadar gula-gula untuk penduduk Kedah terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, sebaliknya menegaskan kerajaan komited melaksanakan tanggungjawab.

Dalam pada itu, Anthony turut mengumumkan perolehan 12 set three car set (3 CS) bagi perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter Utara termasuk di negeri ini bagi laluan Butterworth ke Padang Besar dan Butterworth ke Padang Rengas.

“Tender bagi perolehan ini dijangka diiklankan pada 30 Jun dan mengambil masa 36 bulan disiapkan. Kita ada nilai siling namun kita harap tawaran lebih rendah jadi dapat jimatkan kos,” katanya.

Tanpa mendedahkan secara terperinci nilai projek memandangkan tender akan diadakan secara terbuka, Anthony berkata, kesemua kerja naik taraf itu dijangka menelan kos RM500 juta. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya