Janji temu kesihatan gigi boleh ditempah menerusi MySejahtera

Janji temu kesihatan gigi boleh ditempah menerusi MySejahtera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Janji temu bagi perkhidmatan kesihatan pergigian di fasiliti kesihatan primer Kementerian Kesihatan (KKM) kini boleh dilakukan menerusi aplikasi MySejahtera bermula hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, inisiatif itu membolehkan orang awam menempah perkhidmatan kesihatan gigi dan merancang lawatan ke fasiliti kesihatan mengikut kesesuaian masa.

Beliau berkata, peluasan inisiatif ini akan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan pergigian dan akses ke klinik pergigian selain kaedah ‘walk-in’ yang masih lagi diteruskan.

“Peluasan sistem janji temu MySejahtera baharu ini menawarkan janji temu pemeriksaan kesihatan pergigian melalui Perkhidmatan Pesakit Luar.

“KKM juga akan memperkenalkan fungsi ‘Automated Reminder’ melalui aplikasi MySejahtera yang mana, orang awam akan diberi notifikasi untuk hadir pada masa dan tarikh yang ditempah.

“Pelanggan akan diberikan pemeriksaan, perundingan atau rawatan pergigian pada janji temu pertama tersebut,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, sekiranya rawatan susulan diperlukan, pesakit akan diberi penetapan janji temu seterusnya.

Muhammad Radzi berkata, bagi kes kecemasan pergigian, orang awam boleh hadir terus ke mana-mana klinik pergigian berdekatan tanpa perlu melakukan tempahan janji temu.

Dalam pada itu, Muhammad Radzi berkata, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 mendapati sebanyak 15 peratus daripada penduduk Malaysia tidak pernah mendapatkan pemeriksaan gigi seumur hidup mereka.

“Manakala, sebanyak 50 peratus daripada penduduk Malaysia pula hanya mendapatkan pemeriksaan pergigian yang terakhir mereka lebih kurang dua tahun lalu.

“Situasi ini amat membimbangkan kerana kejadian penyakit gusi dan karies gigi dalam kalangan dewasa masih tinggi dengan masing-masing 90 dan 89 peratus menurut Tinjauan Kesihatan Mulut Kebangsaan Untuk Golongan Dewasa 2010,” katanya.

Katanya, KKM sentiasa komited dalam usaha ke arah mendigitalkan sistem kesihatan agar sejajar dengan Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) 2021 – 2025 KKM di bawah Teras Strategik Kedua iaitu Pemantapan Teknologi Baharu.

Jelasnya lagi, Pendigitalan Sistem Janji Temu Perkhidmatan Kesihatan Pergigian melalui aplikasi MySejahtera ini berpotensi meningkatkan efisiensi sistem perkhidmatan penjagaan kesihatan pergigian negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya