PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengakui pihaknya amat teliti dan lebih tegas dalam isu Sijil Halal Malaysia (SHM) termasuk produk elit luar negara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd. Yusof, agensi tersebut tidak pernah berkompromi dalam perkara itu bahkan sedia menarik balik pensijilan jika terbukti gagal.
“Pengalaman kita sendiri sejak sekian lama memang ada banyak syarikat luar termasuk gergasi yang ditarik balik sijil halal itu atas pelbagai sebab,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Celik Halal Malaysia Bersama Imam Peringkat Kebangsaan di Dewan Sheikh Daud, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini hari ini.
Agensi itu pada 27 April lalu menafikan satu produk wain jenama mewah dari Perancis menerima SHM dan kononnya halal diminum umat Islam. Ia susulan tular satu video menerusi aplikasi TikTok berbahasa Melayu yang mendakwa minuman berasaskan aroma citrus dinyah alkohol itu diperakui halal oleh pihak Jakim.
Malah agensi itu menyangkal dakwaan video tersebut konon SHM dikenakan caj 10,000 euro bagi tempoh dua tahun padahal produk import cuma membayar AS$2,100 sahaja.
Mengulas lanjut, Hakimah membidas tohmahan segelintir pihak bahawa proses penerimaan sijil itu memakan masa amat lama hingga sembilan bulan kerana terlalu ketat.
“Apa yang berlaku hanya melibatkan syarikat yang didapati masih tidak akur prosedur dan mereka sendiri mohon lanjutan tempoh walhal piagam Jakim ialah sebulan,” katanya.
Menyentuh sambutan pengilang terhadap SHM, beliau mengakui pihaknya menerima banyak permohonan selepas negara mula beralih kepada era endemik Covid-19 tahun lalu. – UTUSAN