PUTRAJAYA: Insiden tidak puas hati penduduk setempat terhadap kehadiran kumpulan pelarian di rumah pangsa di Pulau Pinang adalah kes terpencil.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, biarpun ia kes terpencil namun perkara itu tidak boleh dipandang rendah.
Beliau berkata, insiden itu cuma simptom di mana jika ia (isu pelarian) tidak diurus dengan baik maka ia akan menimbulkan sentimen penduduk setempat.
“Perkara itu akan berlegar dalam keadaan benda yang sama jika isu pelarian ini tidak diurus dengan baik,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di sini hari ini.
Katanya, beliau juga menasihatkan penduduk setempat supaya tidak mengambil tindakan sendiri dalam menguruskan isu pelarian.
Saifuddin berkata, negara masih ada pasukan keselamatan dan penguatkuasaan dan biarlah isu itu ditangani Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen.
Media sebelum ini melaporkan, penduduk tempatan di Bagan Dalam, Pulau Pinang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sekumpulan pelarian Rohingya yang menetap di sebuah rumah pangsa kos rendah di kawasan itu.
Malah, berlaku pertemuan antara penduduk dan kumpulan pelarian itu semalam.
Penduduk mendakwa ada warga Rohingya itu membeli dan memandu kereta serta menunggang motosikal secara haram termasuk menjalankan perniagaan atau bekerja.
Perjumpaan itu diadakan selang beberapa minggu selepas UNHCR melaporkan kira-kira 50 pelarian Rohingya telah dihalau keluar dari sebuah rumah di Penaga, Pulau Pinang. – UTUSAN