Isu kalimah Allah: Kenapa saya jadi sasaran? - Aziz Bari - Utusan Malaysia

Isu kalimah Allah: Kenapa saya jadi sasaran? – Aziz Bari

ABDUL Aziz Bari pada sidang akhbar di Ipoh hari ini. - UTUSAN/SAYED HESHAM IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari menyifatkan beliau dijadikan ‘kambing hitam’ atau mangsa untuk dipersalahkan oleh pihak pembangkang dalam isu penggunaan kalimah Allah berikutan afidavit beliau dalam kes mahkamah melibatkan seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi menjelaskan, afidavit yang beliau berikan itu hanya pandangan peribadi mengikut peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan setelah diminta oleh peguam yang membawa kes itu.

Menurutnya, afidavit itu bukan bermakna beliau mewakili orang Islam dalam kes tersebut.

“Tuduhan yang dibuat Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bertujuan mengelirukan orang ramai sedangkan keputusan mengenai isu tersebut dibuat oleh mahkamah.

“Saya tidak pasti dan tidak tahu mengapa saya dijadikan sasaran oleh Takiyuddin. Saya hanya memberikan afidavit yang diminta oleh peguam yang membawa kes itu.

“Kes itu diputuskan oleh hakim berkenaan di Mahkamah Tinggi, bukan saya yang putuskan. Jadi kenapa tak berani mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi itu. Kenapa saya dan DAP yang tidak ada kena mengena dijadikan sasaran.

“Saya rasa (pembangkang) menjadikan saya dan beberapa orang rakan sebagai kambing hitam,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Sidang Media Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Abdul Aziz berkata, pandangan beliau dalam afidavit yang dikemukakan beliau dalam kes itu adalah dari perspektif hak kebebasan beragama dan kitab injil tersebut bukan untuk disebarkan kepada umum hanya kepada penganut Kristian di Sarawak.

Menurutnya, di dalam Perlembagaan Persekutuan jelas membenarkan rakyat di negara ini mengamalkan agama masing-masing tanpa sebarang halangan.

“Isu kalimah Allah sengaja ditimbulkan untuk digunakan sebagai modal politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN),” katanya.

Baru-baru ini, video sidang akhbar oleh Takiyuddin ada menyebut nama Abdul Aziz, Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dr. Azmi Sharom dalam isu penggunaan isu kalimah Allah.

Sebelum itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill, yang memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya