Inflasi menurun kenapa BNM naikkan OPR? - Soal DAP - Utusan Malaysia

Inflasi menurun kenapa BNM naikkan OPR? – Soal DAP

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DAP mempersoal langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar faedah semalaman (OPR) walaupun inflasi terus menurun.

Pengerusinya, Lim Guan Eng berkata, kadar inflasi negara diumumkan menurun kepada 3.3 peratus pada April berbanding 3.4 peratus, Mac lalu sedangkan inflasi teras menurun kepada 3.6 peratus berbanding 3.8 peratus bulan sebelumnya.

Jelas beliau, pengumuman tersebut adalah suatu berita baik namun menimbulkan persoalan mengapa BNM menaikkan kadar OPR sehingga menyebabkan peningkatan faedah tetapi tidak dinaikkan ketika kadar inflasi lebih tinggi.

“Sungguhpun dari Januari hingga April lalu, BNM tidak menaikkan kadar faedah, namun inflasi tetap turun atas usaha Kerajaan Perpaduan di Putrajaya namun pada Mei, BNM tiba-tiba menaikkan kadar faedah yang kita rasa memang tidak wajar.

“Biasanya kadar faedah naik untuk kawal inflasi, tetapi kita lihat inflasi dah turun sungguhpun BNM tidak naik kadar faedah.

“Kita nak tanya mengapa pula sekarang perlu naikkan kadar faedah? Ini hanya akan tambah kos dan bebankan kewangan peminjam, tak kira individu atau peniaga,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, kenaikan kadar faedah berkenaan akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi secara langsung, selain turut menyukarkan usaha mengulangi pertumbuhan ekonomi suku pertama sebanyak 5.6 peratus pada suku tahun kedua.

“Kadar faedah tidak dijangka naik bukan hanya pendapat saya, tetapi juga pandangan pakar ekonomi.

“Bloomberg menemuramah 19 pakar ekonomi, 16 daripadanya menjangka kadar faedah kekal, sedangkan hanya tiga orang kata ia naik. Reuters pula tanya 25 pakar ekonomi, dan dapatannya 21 jangka ia kekal sedangkan empat sahaja jangka naik. Maka jelas, 80 peratus daripada pakar ekonomi rasa kadar faedah tak akan naik,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Beliau tahu pandangan kami dan akan memerhati angka-angka ekonomi dan ambil tindakan seterusnya. Kami sememangnya bimbang kadar OPR tinggi akan bawa kesusahan kepada rakyat.

“Seperti yang disebut sebelum ini hanya sektor perbankan akan untung. Kenaikan faedah sebanyak 0.25 peratus baru-baru ini akan tambahkan keuntungan bersih sektor perbankan tahun ini sebanyak lebih RM1 bilion,” katanya.

Jabatan Perangkaan Malaysia pada Jumaat lalu mengumumkan keadaan inflasi Malaysia semakin baik apabila berada pada kadar 3.3 peratus pada April berbanding 3.4 peratus, Mac lalu.

Menurut jabatan berkenaan, inflasi di Malaysia kekal didorong Restoran dan Hotel (6.6 peratus) dan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol (6.3 peratus). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya