JAKARTA: Sebanyak 390 jemaah haji dari kumpulan pertama tiba di Madinah, kelmarin pada pukul 6.30 pagi waktu tempatan.
Kehadiran kumpulan jemaah itu disambut oleh Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Abdurrahman Bejawi dan Duta Besar Indonesia di negara itu, Abdul Aziz.
“Selamat datang semua tetamu Allah, Alhamdulillah penerbangan berjalan lancar dan anda selamat tiba.
“Kita semua berharap ibadah haji kali ini dapat berjalan lancar, sekali gus kita semua memperoleh haji yang mabrur,” kata Abdul Aziz.
Sepanjang berada di Madinah, kesemua jemaah akan ditempatkan di Hotel Grand Plaza Badr al Maqam yang berhampiran Masjid Nabawi.
Sehubungan itu, Abdul Aziz meminta semua petugas di Madinah memberikan layanan dan perkhidmatan terbaik kepada para jemaah.
“Tahun ini, banyak jemaah dari Indonesia berusia atas 65 tahun, ada yang berumur 90-an, jadi kita harap mereka diberi layanan yang baik sepanjang berada di tanah suci.
“Selain itu, jemaah jugaperlu peka dengan keadaan cuaca Arab Saudi ketika ini kerana, jika hujan, pasti lebat dan sekiranya panas, suhu boleh cecah lebih 40 darjah Celsius.
“Kepada semua jemaah, jangan segan meminta bantuan daripada petugas, jika ada kesulitan, maklumkan kepada mereka,” ujarnya.
Indonesia diberi kuota jemaah haji seramai 221,000 orang tahun ini.