Guna kepakaran, aset fasiliti swasta - Utusan Malaysia

Guna kepakaran, aset fasiliti swasta

FASILITI swasta sepatutnya digunakan berbanding membina hospital atau klinik baharu. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) mencadangkan kerajaan menggunakan kepakaran dan aset swasta sedia ada dalam memberi rawatan kepada pesakit daripada membina lebih banyak fasiliti kesihatan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Dr. Boi Saidi Abd Razak berkata, kerajaan harus menyediakan atau membeli perkhidmatan dan peralatan perubatan baharu bagi mewujudkan sistem kesihatan yang baik dalam negara.

“Perdim sentiasa berharap agar bajet Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk kesihatan ditingkatkan namun, membina hospital dan klinik swasta memerlukan biaya yang sangat besar.

“Kami cadangkan, antara usa­ha yang boleh dilakukan oleh Kementerian Kesihatan adalah membeli perkhidmatan hospital swasta sedia ada. Contohnya, pesakit usus yang perlu melakukan pembedahan apendektomi dan ia lebih murah jika kementerian beli khidmat yang sedia ada di hospital swasta daripada bina hospital pakar baharu.

“Begitu juga dengan usaha membeli peralatan baharu se­perti Mesin Pengimbas Tomografi Berkomputer (CT Scan) dan mesin pengimejan resonans magnetik (MRI). Kementerian boleh menghantar pesakit untuk tujuan prosedur di atas ke hospital swasta tanpa perlu membeli dan menyelenggara peralatan baharu tersebut.

“Ini kerana membina klinik kesihatan baharu adalah lebih mahal daripada membeli servis sedia ada di klinik-klinik swasta. Pesakit di klinik kesihatan boleh dirujuk ke klinik swasta dan klinik tersebut diberikan biaya yang munasabah untuk merawat,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berhubung Kertas Putih Kesihatan yang akan dibentangkan di sidang Parlimen akan datang yang bertumpu kepada pembaharuan sistem perbelanjaan pembiayaan kesihatan dalam usaha mewujudkan sistem kesihatan terbaik.

Menurut Dr. Zaliha, kementeriannya sentiasa berhubung dengan Kementerian Kewangan dalam mencari kaedah untuk meningkatkan perbelanjaan kesihatan awam daripada KDNK.

Selain itu, Dr. Boi menegaskan, Perdim berharap untuk tempoh jangka masa panjang, Kementerian Kesihatan dapat menyediakan hospital kerajaan berpakar secukupnya demi kemudahan rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya