Filem Anwar: The Untold Story kutip RM1 juta hari pertama - Utusan Malaysia

Filem Anwar: The Untold Story kutip RM1 juta hari pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Biarpun bersaing dengan filem antarabangsa, Fast X, Anwar: The Untold Story berjaya mencipta sejarah menjadi filem biopik pertama mencatat kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangan, kelmarin.

Berlatarkan tempoh antara 1993 dan 1998 ketika memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, filem biopik berdurasi 108 minit itu ditayangkan di lebih 1,000 skrin membabitkan 120 pawagam di seluruh Malaysia.

DMY Creation selaku pengedar rasmi filem itu mengesahkan, kutipan RM1 juta diperoleh pada hari pertama tayangan di pawagam seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Pengerusinya, Datuk Mohamed Yusoff berkata, pihaknya bersyukur filem terbitan Yusrych Global Sdn. Bhd. ini meraih sambutan luar biasa.

“Lebih menggembirakan rakyat Malaysia memilih menonton filem biopik yang mengangkat kisah perjuangan Perdana Menteri berbanding karya antarabangsa.

“Filem Anwar: The Untold Story menjadi pembuka jalan untuk pembikin filem menghasilkan filem biopik mengenai tokoh lain pada masa depan.

“Ia sekali gus membuktikan penerimaan penonton terhadap naskhah biopik berdasarkan kisah benar tokoh negarawan yang masih hidup,” katanya dalam kenyataan akhbar.

Tambahnya, pihaknya juga menerima rating antara lapan hingga 10 untuk filem lakonan Farid Kamil yang memegang watak sebagai Anwar, manakala aktres terkenal Indonesia, Acha Septriasa membawa watak Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku teraju utama.

Selain itu, filem arahan pengarah Indonesia, Viva Westi itu dimantapkan lagi dengan barisan pelakon seperti Hasnul Rahmat, Firdaus Karim, Saskia Chadwick, Piet Pagau dan Dewi Irawan.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif yang juga penulis cerita asal filem, Zulkiflee Anwar Haque atau Zunar bersyukur sambutan luar biasa yang diterima.

“Menerusi hasil tinjauan, orang ramai tidak melepaskan peluang memenuhi beberapa pawagam terpilih sekitar Lembah Klang seperti di Atria, MBO, Paradigm Mall, One Utama dan KLCC untuk menonton filem ini.

“Kami berharap sambutan terhadap filem ini akan berterusan kerana kami mensasarkan kutipan tinggi untuk filem ini,” katanya.

Mengulas mengenai naskhah itu, kata Zunar, filem itu juga mencipta sejarah kerana menjadi filem paling banyak menerima tempahan awal oleh pawagam.

“Saya akui filem ini banyak terima tempahan lebih awal oleh pihak pawagam. Contohnya, pawagam di MidValley dan Pulau Pinang yang sudah penuh dan ditempah lebih awal untuk tayangan filem ini,” katanya.

Zunar turut berharap filem itu mendapat sambutan berterusan orang ramai kerana ia membongkar kebenaran dan peristiwa yang berlaku pada 1988.

“Justeru, saya berharap orang ramai akan datang untuk menonton kisah benar yang tidak pernah didedahkan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Filem ini juga menyaksikan penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan lagu runut bunyi filem berjudul Menjaga Cintamu ciptaan Andi Rianto dan lirik oleh Sekar Ayu Asmara.

Selain Malaysia sebagai lokasi utama, filem Anwar menjalani penggambaran di Indonesia yang mengisahkan perjuangan dan pengorbanan Anwar menentang amalan rasuah dengan sokongan isterinya.

Filem memfokuskan bagaimana Anwar tegas menolak pelbagai jenis imbuhan dan wang tunai menyebabkan dirinya difitnah dalam konspirasi besar hingga dipecat, dipukul secara brutal dalam lokap dan dibiarkan tanpa rawatan sehingga beberapa hari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN