Fahmi Fadzil gesa Awesome TV jelas tunggakan bayaran - Utusan Malaysia

Fahmi Fadzil gesa Awesome TV jelas tunggakan bayaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menggesa stesen televisyen, Awesome TV menjelaskan bayaran tertunggak dengan beberapa pihak lain termasuk agensi bernaung di bawah kementeriannya, My Creative Ventures (MCV).

Jelas Fahmi, stesen televisyen tersebut tetap beroperasi dengan pada masa yang sama melanggar syarat-syarat perlesenan seperti apa dimaklumkan pihak SKMM.

Kata menteri itu lagi, pihaknya juga telah mengadakan pertemuan dengan lembaga pengarah stesen TV tersebut pada 15 Mei lalu dan meminta untuk menyegerakan sebarang bayaran tertunggak.

“Saya difahamkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuat kompaun terhadap Awesome TV. Saya sudah minta pengarah dan juga CEO untuk bantu segera jelaskan isu-isu melibatkan tunggakan (sekiranya ada).

“Saya dimaklumkan agensi di bawah KKD iaitu MCV, terdapat sejumlah sama ada penerbit ataupun syarikat yang telah menerima dana daripada MCV dengan tujuan untuk menghasilkan filem atau kandungan.

“Saya difahamkan konten tersebut sepatutnya dibayar atau dibeli oleh pihak Awesome TV. Tetapi, ada sebab-sebab tertentu, perinciannya belum diberikan kepada saya. Ada sejumlah syarikat belum dibayar oleh stesen TV itu,” katanya.

Fahmi berkata demikian selepas sesi Townhall Industri Kreatif Siri 3: Industri Filem di Rex KL, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan sekali lagi dengan pihak Awesome TV untuk menyelesaikan sebarang isu berbangkit.

Tambah menteri itu, SKMM sebagai badan kaunselor yang mengeluarkan lesen untuk terus memantau beberapa perkara agar semua dapat diselesaikan segera.

“Saya minta mereka segera menyelesaikan masalah tunggakan. Bukan hanya dengan MCV tetapi juga dengan mana-mana pihak lain.

“Walaupun saya difahamkan ada pihak terbabit terlibat dengan saman sivil dan sebagainya, saya minta semua pihak duduk di meja perundingan. Kita cuba selesaikan dengan baik.

“Kalau dapat diselesaikan dengan baik, maka semua pihak akan dapat manfaat dan mereka yang telah menghasilkan karya boleh dapat bayaran. Awesome TV juga boleh teruskan beroperasi,” ujarnya.

Sesi Townhall Industri Kreatif Siri 3: Industri Filem itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Profesor Dr. Md. Nasir Ibrahim dan Pengerusi Finas, Datuk Kamil Othman.

Sesi yang dihadiri lebih 400 penggiat seni perfileman tanah air diterajui oleh moderator yang juga pengacara, Nazrudin Habibur Rahman.

Terdahulu, Awesome TV dilaporkan dipanggil SKMM kerana menerbitkan kandungan berita yang melanggar undang-undang.

Fahmi dilaporkan memberitahu, saluran TV itu yang disiarkan di MYTV dan Astro, didapati menerbitkan kandungan berita yang melanggar peraturan sebanyak enam kali, termasuk fitnah terhadap kerajaan hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN