Emraz yakin kembali pulih mulai Ogos dengan struktur baharu

Emraz yakin kembali pulih mulai Ogos dengan struktur baharu

ZULKARNAIN Endut ketika berucap menyantuni kumpulan trip khas pemulihan operasi umrah di Terminal 1, KLIA, Sepang, Selangor. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Setelah terpalit dengan isu penggantungan lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) awal April lepas, Emraz Travel & Tours Sdn. Bhd. (Emraz) optimis dapat bangkit semula.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Zulkarnain Endut ketika ditemui pemberita malah yakin syarikat itu mampu kembali pulih pada Ogos kelak dengan imej baharu lebih positif.

“Kami sudah pun melakukan penstrukturan dengan kos operasi paling rendah sehingga kurang 70 peratus daripada sebelumnya dan pelan pemulihan bergerak lancar,” katanya selepas menyantuni kumpulan pertama bagi trip khas pemulihan operasi umrah Emraz di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Usaha itu turut dbantu Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sebagai pengawal selia industri.

Lembaga Tabung Haji pada 2 April lalu menggantung lesen PJH syarikat itu serta-merta susulan masalah pengurusan jemaah umrah dikendalikannya tular diperkatakan ramai.

Walau bagaimanapun, Zulkarnain menerusi kenyataan balas pada tarikh sama menafikan operator itu sebagai cuba menipu atau ‘scam’ pelanggan yang ditunda penerbangannya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa lesen PJH yang diterima Emraz pada 30 Januari lalu cuma digantung sementara, bukan langsung ditarik balik oleh Tabung Haji.

“Ekoran pengumuman itu, semua pejabat kami diserbu pelanggan salah faham permit Emraz untuk urusan umrah dibatalkan walhal ia tidak benar,” jelasnya.

Beliau namun bersyukur dan berterima kasih kerana sebahagian besar bakal jemaah tidak panik serta memahami beberapa isu tercetus itu adalah di luar kawalan Emraz sendiri.

Menyentuh tindakan susulan syarikat itu, beliau berkata, pihaknya membelanjakan hampir RM1 juta setiap bulan bagi pemulangan balik bayaran kepada jemaah yang memohon meliputi kesemua kes sebelum Mac lalu dan setakat ini sejumlah RM7.5 juta dikembalikan kepada pelanggan yang tidak memilih penjadualan penerbangan semula.

Angka tersebut turut melibatkan mereka yang mahu bayaran dipulangkan kerana gagal pergi ke tanah suci sepanjang dua tahun sempadan negara ditutup susulan isu Covid-19.

Bagi jemaah yang masih meneruskan impian melakukan umrah, Emraz kata Zulkarnain, menawarkan pakej lebih baik dengan hotel bertaraf lima bintang di Mekah dan Madinah.

Justeru, beliau menjangkakan syarikat itu akan dapat menguruskan purata kira-kira 2,000 orang jemaah pada setiap bulan termasuk mereka yang terkandas tarikhnya sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.