PETALING JAYA: Stesen penyiaran swasta, TV3 membawakan program bual bicara khas, ‘Eksklusif bersama Joko Widodo Presiden Republik Indonesia’ bagi membincangkan isu-isu kepentingan ASEAN serta gaya hidup tokoh politik yang disegani itu, pukul 9.00 malam ini.
Program yang dikendalikan hos, Fiza Sabjahan akan bersiaran selama sejam yang menjalani rakaman di Istana Merdeka, Jakarta.
Selain itu, Joko Widodo atau lebih dikenali dengan Jokowi juga memilih Pasar Tanah Abang, lokasi pelancongan yang terkenal dengan produk tekstil sebagai lokasi penggambaran kedua.
Seterusnya, Sarinah Mall, pusat beli-belah pertama di Indonesia yang telah dinaik taraf untuk memasarkan barangan tempatan juga dipaparkan dalam program ini.
Presiden Republik Indonesia ketujuh ini memikul tanggungjawab besar apabila Indonesia terpilih sebagai Pengerusi ASEAN 2023, awal Januari lalu.
Beliau merupakan Presiden Indonesia pertama yang bukan berasal dari latar belakang politik atau ketenteraan elit. Apakah perancangan beliau untuk menyelesaikan kemelut dan cabaran getir yang dihadapi oleh ASEAN?
Selain berkongsi perspektif mengenai hubungan diplomatik Malaysia dan Indonesia, Jokowi juga membincangkan topik-topik yang menjadi kepentingan ASEAN seperti isu maritim dan pertikaian sempadan, pergolakan politik di Myanmar, pemulihan ekonomi dan keselamatan makanan demi menjamin kestabilan politik, keselamatan dan ekonomi.
Di sebalik kewibawaan sebagai seorang tokoh politik, beliau juga mempunyai hobi dan minat yang unik antaranya membawa motor berkuasa tinggi, bersukan seperti futsal dan badminton, menonton filem serta memelihara haiwan.