Datuk Roy, pegawai SPRM didakwa rasuah berkaitan siasatan anak Muhyiddin

Datuk Roy, pegawai SPRM didakwa rasuah berkaitan siasatan anak Muhyiddin

MOHD. Hussein Mohd. Nasir (kemeja hitam) dan Mohd. Rasyidi Mohd. Said hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan rasuah. -UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk Roy’ didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan rasuah berkaitan siasatan terhadap anak bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mohd. Rasyidi Mohd. Said, 43, dan Mohd. Hussein Mohd. Nasir atau `Datuk Roy’, 54, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Tuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama meminta rasuah berjumlah RM400,000 daripada Siti Dalena Berhan, 47, sebagai dorongan untuk tidak menahan reman Datuk Fakhri Yassin Mahiaddin yang ketika itu disiasat oleh SPRM.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran mewah di Lorong Kurau, Bangsar di sini antara pukul 9 malam dan 11 malam, 5 Mac lalu.

Tuduhan kedua, mereka didakwa bersama-sama menerima rasuah bagi diri mereka atau pihak lain iaitu wang tunai RM240,000 daripada Syed Farid Syed Al Attas sebagai dorongan untuk tidak menahan reman Fakhri Yassin ketika siasatan SPRM.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan sebuah restoran makanan segera di Desa Sri Hartamas di sini di antara pukul 2 petang dan 4 petang, keesokannya.

Sementara itu, Mohd. Hussein turut mengaku tidak bersalah atas satu tuduhan berasingan iaitu meminta rasuah RM2 juta daripada kedua-dua individu sama berhubung pendakwaan terhadap ahli perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad.

Rasuah itu sebagai dorongan untuk menukarkan pertuduhan yang lebih ringan, menukar keterangan tertuduh kepada saksi dan mengurangkan wang jaminan terhadap Adam Radlan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan 14/1, Kampung Melayu Kepong di sini pada awal bulan Februari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Suzana membenarkan Mohd. Hussein dibebaskan dengan jaminan RM15,000 manakala Mohd. Rasyidi sebanyak RM10,000 masing-masing dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut membenarkan syarat jaminan agar pasport kedua-dua tertuduh diserahkan kepada mahkamah hingga kes selesai serta melapor diri di pejabat SPRM di ibu negara setiap bulan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Nor Diana Nor Azwa serta pegawai pendakwa SPRM, Selvam T. Armugom.

Mohd. Hussein diwakili oleh peguam Fahmi Abd. Moin, Azizul Shariman Mat Yusoff dan Ariff Azami Hussein manakala Mohd. Rasyidi oleh Mohd. Hezri Shaharil.

Pada prosiding itu, Selvam memohon wang jaminan di antara RM10,000 dan RM15,000 dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh serta syarat tambahan.

Fahmi tidak membantah jaminan terhadap Mohd. Hussein dan memohon supaya anak guamnya yang menetap di Kuantan, Pahang dibenar melapor diri di pejabat SPRM di ibu negara.

Mohd. Hezri memohon jaminan terhadap Mohd. Rasyidi dikurangkan kerana tertuduh penjawat awam dan mempunyai empat orang anak berumur di antara setahun dan 16 tahun.

Terdahulu, kes terhadap Mohd. Hussein dan pegawai SPRM itu disebut di hadapan Hakim Azura Alwi. Bagaimanpun, Wan Shaharuddin memohon agar kes itu dipindahkan ke hadapan Suzana untuk perbicaraan bersama.

Mahkamah menetapkan 7 Julai ini bagi sebutan kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya