PETALING JAYA: DAP bakal mendapat semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai yang hilang sebelum ini kerana penyandangnya, Bryan Lai Wai Chong menyertai Parti Warisan (Warisan).
Ini setelah Wai Chong yang menyokong Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal memutuskan tidak mempertahan DUN Teratai pada Pilihan Raya Negeri Selangor (PRN) yang akan berlangsung tahun ini.
Secara tidak langsung, ini menyaksikan Warisan tidak lagi mempunyai kerusi DUN di Semenanjung dan hanya sempat memiliki DUN Teratai kurang dua tahun sejak Januari 2022.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat merujuk kepada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang menyaksikan DAP menang di DUN Teratai dan parti itu akan terus mempertahankannya dalam pilihan raya negeri.
“Kita bergantung pada keputusan pilihan raya pada 2018 (PRU14) yang dimenangi oleh DAP dan kita (Pakatan Harapan) kekalkan parti DAP untuk DUN Teratai.
“Tiada perubahan parti untuk DUN Teratai untuk mewakili kerajaan atau pun gabungan perpaduan dalam pilihan raya akan datang,” katanya ringkas kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Petaling Jaya.
Parlimen Petaling Jaya disandang oleh Pengarah Komunikasi Pusat PKR, Lee Chean Chung.
Beliau berkata demikian ketika ditanya langkah seterusnya yang diambil kerajaan berhubung DUN Teratai sama ada DAP akan mendapatkan semula kerusi itu atau diberi kepada PKR pada pilihan raya negeri.
Wai Chong sebelum ini telah memaklumkan tidak mempertahan kerusi itu pada PRN Selangor nanti.
Beliau merupakan satu-satunya wakil rakyat tunggal dari Warisan yang menang bertanding di Selangor pada PRU14 lalu atas tiket DAP.
Pada April 2021, Wai Chong mengumumkan keluar daripada DAP dan bergerak sebagai wakil rakyat Bebas yang menyokong PH.
Keputusan itu dibuat untuk menyelesaikan masalah peribadinya dan tidak mahu DAP terpalit dengan masalah berkenaan.
Bagaimanapun, Wai Chong dilaporkan menyertai Warisan semasa satu acara parti itu yang diadakan di Kota Kinabalu pada Januari 2022.
Wai Chong bersama dua lagi bekas pemimpin DAP iaitu bekas Ahli Parlimen Jelutong, Pulau Pinang, Jeff Ooi Chuan Aun dan bekas ADUN Batu Lanchang, Pahang, Datuk Danny Law Heng Kiang sebelum ini mengumumkan menyertai Warisan secara rasmi.
Warisan secara rasmi meluaskan sayap ke Semenanjung pada Disember 2021. – UTUSAN