PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah, Farid Kamil mencuri perhatian warganet dengan memuat naik petikan kata-kata seolah-olah jawapan balas kepada kenyataan isterinya, Diana Dianelle semalam.
Farid menerusi Instastorynya memuat naik petikan yang mengatakan kecurangan itu adalah satu pilihan yang dilakukan oleh seseorang dan satu kesilapan yang disengajakan.
“Sentiasa ingat, curang adalah pilihan, bukan kesalahan. Kesetiaan pula adalah satu tanggungjawab, bukan pilihan,” ungkap petikan tersebut.
Penerbit dan pengarah Remp-IT 2 itu juga memuat naik satu hantaran lain yang mengungkapkan petikan berkaitan dengan kemaafan terhadap seseorang yang melakukan kesilapan.
“Saya tak tahu betapa kuatnya diri sehingga memaafkan seseorang yang tidak pernah mengaku salah dan meminta maaf di atas kesilapan tersebut,” katanya.
Semalam, Diana memuat naik luahan di Instagramnya dipercayai merujuk kepada tuduhan Farid kononnya dia mempunyai hubungan dengan lelaki lain.
Diana berkata, dia tidak sanggup lagi terus menanggung kesakitan dan membiarkan dirinya terus dilukai terutama selepas cinta terhadap Farid semakin pudar.











