PONTIAN: Pemilik dusun durian di daerah ini mendakwa tanaman mereka kurang menjadi musim ini ekoran cuaca melampau sehingga menyebabkan banyak bunga ‘raja buah‘ itu gugur.
Seorang pemilik dusun, Azmi Mohamed, 52, berkata, pokok duriannya termasuk milik keluarga seluas 4.4. hektar tidak berbuah sepenuhnya kerana keguguran bunga.
Katanya, faktor hujan lebat sebelum ini menyebabkan banyak bunga durian yang gugur dan dianggarkan hanya 30 peratus daripada 140 pokok duriannya ‘lekat‘ berbanding tahun lalu.
“Saya dan isteri akan menunaikan haji bulan depan dan kembali pada awal Ogos ini.
“Semasa ketiadaan saya, urusan menjaga dusun termasuk mengutip dan menjual durian dilakukan oleh ahli keluarga yang lain dengan kebiasaannya pembeli terus ke rumah kami di Kampung Melayu Raya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagi Jais Munaseri, 51, dari Kampung Paya Embun, musim ini ‘kurang menjadi’ kerana tidak semua 30 pokok duriannya berbuah lebat seperti pada tahun-tahun sebelumnya.
“Jika tahun-tahun sebelum ini, pokok durian saya mampu mengeluarkan kira-kira 5,000 biji, namun tahun ini dijangka berkurangan,” katanya sambil memberitahu pendapatan yang diraih hasil jualan durian dianggap ‘bonus’ memandangkan banyak modal dikeluarkan bagi membeli baja serta penjagaan yang lain.
Seorang lagi pemilik dusun, Ayob Ketot, 72, pula bersyukur kerana 70 pokok durian kampungnya tetap berbuah agak lebat dan kini sedang membuka tempahan secara dalam talian untuk mereka yang ingin membelinya. – UTUSAN











