PETALING JAYA: Vokalis kumpulan rock terkenal, Coldplay, Chris Martin tetap menzahirkan rasa sayang terhadap rakyat Malaysia yang membantah kedatangan mereka ke negara ini, pada 22 November depan.
Menerusi temu bual bersama juruhebah radio Hitz FM, Anne Jacyntha dan Arnold Loh, Martin turut menzahirkan permohonan maaf sekiranya kedatangan mereka menyinggung perasaan rakyat negara ini.
“Sesiapa yang tidak gembira dengan kedatangan Coldplay, kami minta maaf tetapi kami juga menyayangi kamu.
“Setiap kali bertemu rakyat Malaysia, saya rasa cinta dengan kemesraan mereka. Semua orang dialu-alukan hadir ke konsert kami. Kami sayang semua rakyat Malaysia dan tiada yang terkecuali,” katanya.
Mengulas kedatangan ke Kuala Lumpur nanti, Martin berkata, dia berasa teruja dengan kehadiran buat julung kalinya ke negara ini.
“Saya sangat teruja. Kami bertuah sebab antara matlamat kami adalah untuk mengunjungi negara yang belum pernah dilawati.
“Kuala Lumpur adalah destinasi yang kami idamkan sejak sekian lama dan kami gembira akhirnya dapat menjejakkan kaki ke sini kelak,” katanya.
Konsert Coldplay berjudul Music of Spheres World Tour akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, bermula pukul 8.30 malam, 22 November depan.
Kedatangan kumpulan dari Britain ini ternyata mendapat sambutan luar biasa apabila tiket habis terjual dalam tempoh beberapa jam dibuka.
Coldplay yang dianggotai oleh Chris Martin, Johnny Buckland, Guy Berryman dan Will Champion turut mengadakan konsert jelajah di beberapa negara Asia terpilih antaranya Taiwan, Jepun, Australia dan Jakarta.