Cerun runtuh Taman Muzaffar: Tujuh hari ratifikasi semula projek

Cerun runtuh Taman Muzaffar Shah: Tujuh hari ratifikasi semula projek – KM

AB. RAUF Yusoh (tiga dari kiri) melakukan tinjauan dan pertemuan dengan penduduk Taman Muzaffar Shah, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pemaju projek pembangunan komersial yang mengakibatkan rekahan cerun dan kerosakan rumah penduduk di Taman Muzaffar Shah, Ayer Keroh di sini, diberi tempoh tujuh hari oleh kerajaan negeri untuk melakukan ratifikasi semula berhubung permasalahan itu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, segala proses penambahbaikan berkaitan langkah-langkah keselamatan serta teknikal melibatkan pergerakan tanah di kawasan terlibat akan dipantau secara harian oleh Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

Beliau berkata, pemaju juga diarah bertemu dengan para penduduk yang terkesan dengan projek berkenaan bagi tuntutan ganti rugi serta baik pulih kediaman retak dan sebagainya.

“Saya juga menerima jaminan daripada pihak pemaju yang akan melihat langkah-langkah bagi memastikan bahawa langkah-langkah keselamatan dan juga teknikal ini dipatuhi.

“Pihak MPHTJ telah memberikan tempoh seminggu untuk membuat ratifikasi dan kita akan pantau permasalahan ini secara harian. Saya memberitahu pada pemaju dan autoriti yang ada bahawa permasalahan ini mesti diberi perhatian daripada pihak berkuasa supaya langkah-langkah keselamatan mesti diambil daripada awal.

“Pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) telahpun tadi bersama-sama dengan saya, akan memohon supaya pihak pemaju dapat memberi perhatian tentang tuntutan ganti rugi sekiranya ada rumah-rumah yang terjejas daripada hasil projek ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan dan pertemuan dengan penduduk Taman Muzaffar Shah, hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 300 penduduk Taman Muzaffar Shah buntu memikirkan keselamatan diri dan kediaman mereka selepas berlaku rekahan cerun akibat daripada projek pembangunan komersial.

Seorang penduduk, Zainon Baba, 52, berkata, dia tidak dapat tidur lena setiap kali hujan lebat kerana bimbang pagar zink yang dipasang pemaju di tepi cerun runtuh akibat pergerakan tanah.

Pengerusi JPKK Ayer Keroh Height, Ismail Othman, 64, berkata, para penduduk merayu campur tangan Ketua Menteri supaya penyelesaian tuntas dapat dicapai.

Tambah Ab. Rauf, MPHTJ bertanggungjawab untuk memastikan segala langkah-langkah keselamatan diambil sepenuhnya bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini menimpa penduduk.

“Kita tak nak esok, apabila sudah berlaku permasalahan yang lebih besar, kita tidak bersedia untuk menghadapi permasalahan tersebut.

“Jaminan telah diberi, segala langkah nanti akan dikuatkuasakan oleh pihak MPHTJ bagi memastikan penduduk berada dalam keadaan tenang, aman tidak resah tentang pergerakan tanah,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN