Bersatu fail permohonan cabar penyitaan akaun

Bersatu fail permohonan cabar penyitaan akaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memfailkan permohonan semakan kehakiman kedua bagi mencabar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita dua akaun bank parti itu.

Dua akaun bank itu merupakan akaun bank yang sama dibekukan oleh agensi terbabit sebelum ini.

Permohonan semakan kehakiman itu difailkan oleh Setiausaha Kerja Bersatu, Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya bagi pihak Bersatu melalui firma guaman, Tetuan Chetan Jethwani & Co. di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman itu akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 22 Jun ini.

Bersatu selaku plaintif menamakan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin dan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Faridz Gohim Abdullah selaku responden pertama hingga keempat.

Turut dinamakan sebagai responden ialah 15 pegawai SPRM yang menjalankan siasatan dan melaksanakan perintah penyitaan akaun tersebut.

Pada 20 April lalu, SPRM dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya telah menyita dua akaun bank milik Bersatu bagi membantu siasatan terhadap wang yang disyaki daripada hasil haram.

Akaun-akaun itu sebelum ini telah dibekukan oleh SPRM kerana dipercayai akaun terbabit mempunyai  kaitan dengan siasatan SPRM terhadap dana kerajaan RM92.5 billion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik Covid-19.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, RM40 juta wang yang dibekukan di dalam dua bank parti itu hanyalah 15 peratus daripada dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi yang belum dibelanjakan. 

Menurut afidavit yang difailkan Bersatu mendakwa pada 19 April lalu, akaun CIMB dan Ambank miliknya telah disita tanpa membuat serahan perintah penyitaan tersebut di bawah Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

“SPRM dalam kenyataan medianya menyatakan, sitaan terhadap akaun-akaun tersebut mempunyai kaitan dengan siasatan dan pertuduhan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Md. Yasin di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan AMLATFPUAA 2001 

“Penyitaan salah tersebut adalah satu percubaan untuk menjejas pentadbiran atau perlaksanaan keadilan yang merupakan satu penghinaan Mahkamah kerana akaun Bersatu dan Muhyiddin adalah dua entiti yang berbeza dan akaun-akaun bank Bersatu tidak boleh dibeku dan disita berdasarkan pertuduhan terhadap Muhyiddin,”kata afidavit tersebut.

Menurut plaintif, tindakan SPRM telah membekukan kesemua akaun milik Bersatu secara salah berdasarkan tuduhan-tuduhan palsu, tohmahan dan fitnah jahat secara bersekongkol dengan pemimpin kerajaan untuk menimbulkan kebencian dan kemarahan orang awam terhadap Muhyiddin.

Oleh itu, Bersatu memohon antaranya perintah untuk membatalkan perintah SPRM menyita akaun-akaun Ambank dan CIMB mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (“AMLATFPUAA).

Ia juga memohon perintah supaya SPRM menyerahkan Perintah Penyitaan (yang didakwa salah) yang sehingga kini masih tidak pernah diserahkan kepada BERSATU walaupun diminta berkali-kali yang mencabul hak pemilikan harta parti berkenaan.

Turut dimohon, satu perintah supaya SPRM membebaskan keseluruhan akaun Bank Bersatu daripada sebarang kekangan dan pembekuan dan selanjutnya perintah supaya CIMB Islamic Bank Bhd dan AmBank (M) Berhad membebaskan akaun berkenaan.

Selain itu, parti berkenaan memohon perisytiharan bahawa SPRM tidak boleh melanjutkan kekangan ke atas akaunnya selepas tamat tempoh 90 hari, dengan menyalahgunakan kuasa di bawah Seksyen 50 AMLATFPUAA bagi pengeluaran ‘Perintah Penyitaan Salah’ selama sembilan bulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya