Berpesta jala ikan di tengah empangan

Berpesta menjala ikan di tengah empangan

SEKUMPULAN penduduk mengambil peluang menjala ikan dengan berjalan sehingga ke tengah empangan selepas air menyusut berikutan cuaca panas di Kampung Sahabat, Tasik Timah Tasoh, Padang Besar, Perlis semalam.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Orang ramai mengambil peluang menjala ikan dengan berjalan kaki sehingga ke tengah empangan Timah Tasoh di Kampung Sahabat di sini yang airnya menyusut berikutan cuaca panas.

Seorang penduduk dari Rimba Mas, Khairul Anuar Halim, 34, berkata, dia bersama rakan-rakannya mengambil peluang menjala pelbagai jenis ikan termasuk tilapia di tasik berkenaan.

Katanya, berikutan air yang menyusut, mereka berjalan sehingga ke tengah empangan yang paras hanya sekitar lutut.

“Pada musim kemarau seperti ini, air menyusut dan kami berpeluang berjalan hingga tengah tasik untuk menangkap ikan. Kali terakhir air menyusut sehingga timbulnya jalan lama di sini ialah sekitar tahun 2016.

“Banyak juga ikan yang diperoleh seperti tilapia dan puyu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Baru-baru ini, akhbar ini melaporkan, jalan lama yang pernah lenyap hampir 30 tahun selepas ditenggelami air akibat pembinaan empangan Timah Tasoh muncul kembali setelah air menyusut.

Jalan sepanjang satu kilometer di Kampung Sahabat, Tasoh yang menjadi penghubung Jalan Sahabat ke Batu 12 itu timbul sejak beberapa minggu lalu sekali gus menjadi tumpuan orang ramai berjalan sehingga ke tengah tasik untuk menjala ikan.

Difahamkan, bekalan air di empangan Timah Tasoh dijangka mampu bertahan kira-kira dua bulan sekiranya cuaca panas berlarutan.

Seorang lagi penduduk, Faiz Abdullah,13, berkata, dia meluangkan masa pada waktu petang untuk menjala ikan di tengah tasik tersebut.

“Bila air menyusut, kami boleh berjalan sehingga ke tengah dan memudahkan untuk menjala ikan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN