Bentang segera RUU dana politik selewat-lewatnya Mac 2024

Bentang segera RUU dana politik selewat-lewatnya Mac 2024

WONG Chen mewakili kumpulan rentas parti politik bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar di Parlimen.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kumpulan Rentas Parti Politik Parlimen Malaysia (KRPPM) mengenai pendanaan politik menggesa kerajaan supaya mempercepat pembentangan rang undang-undang (RUU) berkaitan pendanaan politik atau selewat-lewatnya pada Mac tahun depan.

Pengerusinya, Wong Chen berkata, sebelum kerajaan bersedia membentang RUU itu, pihaknya menggesa kerajaan supaya menjalankan sesi libat urus terlebih dahulu bersama mereka.

Katanya, kumpulan itu akan menghantar draf merangkumi beberapa cadangan untuk dipertimbang sebelum RUU itu dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk diluluskan, kemudian dibentang di Dewan Rakyat.

“Kumpulan kami amat berbesar hati untuk mengadakan pertemuan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara ini,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Jelas Wong, antara cadangan yang akan diusul kepada kerajaan ialah memasukkan elemen pendanaan politik daripada kerajaan.

Ini kerana, katanya, draf yang dirangka sebelum ini tidak mempunyai elemen tersebut dan keperluan pendanaan politik daripada kerajaan amat penting untuk negara demokrasi.

“Saya diberitahu draf yang dibuat sebelum ini tidak mempunyai elemen pendanaan politik daripada kerajaan. Kalau kita benar-benar mahu lawan rasuah di peringkat parti-parti politik, maka kita perlu ada pendanaan politik dari kerajaan.

“Pembiayaan awam untuk parti politik boleh membantu menampung kos operasi parti politik dan membentuk sistem politik lebih saksama.

“Kami juga mencadang penubuhan Suruhanjaya Pendanaan Politik sebagai badan pemantau bebas untuk mengawal selia proses pengisytiharan dana oleh parti-parti politik,” katanya.

Turut bersidang dalam sidang akhbar hari ini ialah KRPPM mengenai Integriti, Governans dan Anti Rasuah yang terdiri daripada ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang diketuai Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

Selain pendanaan politik, kedua-dua kumpulan itu juga membangkitkan beberapa reformasi undang-undang iaitu pindaan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, pewujudan perkhidmatan Parlimen yang dimansuh sebelum ini dan cadangan pindaan terhadap Akta Majlis (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Pada Mac lalu, Azalina memaklumkan kerajaan akan merujuk cadangan RUU Pendanaan Politik kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya