Bayaran Insentif Wilayah dipanjangkan kepada pegawai, anggota ATM bermula Julai

Bayaran Insentif Wilayah dipanjangkan kepada pegawai, anggota ATM bermula Julai

ANWAR Ibrahim semasa beramah mesra dengan anggota ATM di Markas 5 Briged Kem Lok Kawi di Putatan, Sabah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTATAN: Kerajaan Persekutuan bersetuju memanjangkan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) bagi menggantikan Bayaran Insentif Sabah/Sarawak (BISS) dan Bayaran Insentif Semenanjung (BISM) bagi pegawai serta anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkuat kuasa 1 Julai ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelulusan itu memberi manfaat kepada 33,586 anggota ATM dengan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM87.8 juta setahun berdasarkan perjawatan tahun 2022.

Beliau berkata, selama ini kadar BISS dan BISM diberikan kepada pegawai dan anggota ATM yang bertukar wilayah agak rendah berbanding kadar BIW.

“Namun asas pembayaran ketiga-tiga insentif tersebut adalah sama iaitu untuk menampung kos sara hidup yang tinggi serta sebagai galakan pegawai dari Semenanjung untuk berkhidmat di Sabah atau Sarawak dan sebaliknya.

“Justeru, kerajaan bersetuju memanjangkan BIW bagi menggantikan BISS dan BISM untuk manfaat pegawai dan anggota ATM bermula 1 Julai,” katanya semasa program ramah mesra bersama warga ATM di Markas 5 Briged Kem Lok Kawi hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut meluluskan peruntukan sejumlah RM25 juta bagi membangunkan 47 kuarters awam dan rumah transit Kementerian Pertahanan di Taman Lok Kawi bagi kemudahan penempatan ATM.

Bagi tujuan itu, kerajaan akan membangunkan semula 49 unit rumah terbiar di kawasan taman tersebut untuk dijadikan kuarters awam serta rumah transit.

Anwar berkata, kerajaan meneruskan pelaksanaan beberapa projek sedia ada termasuk pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) tambahan pelbagai kelas Kem Lok Kawi dengan kos sejumlah RM213 juta.

Projek lain yang akan dilaksanakan adalah projek bernilai RM4.8 juta bagi membaik pulih dan menaik taraf Aviari di Taman Hidupan Liar Lok Kawi serta menaik taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo Ke Sungai Kinarut yang bernilai RM67 juta.

“Kita juga akan melaksanakan projek bina baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lok Kawi yang bernilai RM23 juta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.