KOTA KINABALU: “Apabila menghubungi keluarga di kampung, arwah Askandar sering berpesan supaya tolong tengokkan isteri dan anak-anak.”
Namun, tiada siapa menyangka pesanan itu menjadi satu kenyataan apabila Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Awang Askandar Ampuan Yaacub meninggal dunia semalam ketika menyertai ekspedisi Malaysia Everest 2023 (ME 2023).
Abang arwah, Awang Asim Ampuan Yaacub, 57, berkata, itu antara pesanan yang sering arwah katakan apabila berhubung melalui telefon dengan kakak mereka di kampung.
Katanya, kali terakhir arwah berhubung dengannya adalah pada 7 Mei lalu iaitu melalui panggilan video untuk berkongsi mengenai misinya untuk menawan puncak Gunung Everest.
Semasa panggilan video itu, arwah hanya bertanya khabar dan meminta keluarga mendoakan kejayaannya dalam ekspedisi menawan puncak Gunung Everest.
“Menerusi panggilan video itu, arwah ada memberitahu tentang perancangannya untuk pencen awal sebab mahu bina rumah dan menetap di kampung,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di Kampung Benoni, Papar, di sini semalam.
Semasa berkongsi pengalaman kali pertama mendaki Gunung Everest pada tahun lalu, arwah memberitahu pendakian itu sangat mencabar dan memerlukan ketahanan mental dan fizikal.
Menurut Asim, arwah adiknya menyimpan impian menjadi orang pertama daripada Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan untuk menawan puncak Gunung Everest. Itu menjadi impian arwah.
Malah, arwah turut mengatakan mudah-mudahan misinya menawan puncak Evrest itu menjadi satu ibadah dan perangsang bagi generasi akan datang.
Katanya, arwah adalah anak bongsu daripada tujuh beradik dan seorang yang gemar dengan sukan ekstrem dan aktiviti lasak sejak daripada usia muda.

Asim berkata, apabila segala proses pengurusan jenazah di Nepal telah selesai, jenazah adiknya itu akan dibawa pulang dan dikebumikan di Taman Perkuburan Kampung Benoni.
Sementara itu, berita duka terus menyelebungi kem pasukan pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023) apabila salah seorang pendakinya, Muhammad Hawari Hashim, 33, dilaporkan hilang, pagi semalam.
Sebelum itu, Muhammad Hawari yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) pendengaran telah pun berjaya menakluk punca Everest petang kelmarin.
Difahamkan, Muhammad Hawari kemudian dilaporkan hilang selepas turun dari puncak Everest dan berehat di kem empat.
Berita kehilangan Muhammad Hawari turut dilaporkan media tempatan Nepal, The Himalayan Times (THT) semalam. – UTUSAN










