Ancaman bubu naga terus berleluasa, rugikan nelayan - Utusan Malaysia

Ancaman bubu naga terus berleluasa, rugikan nelayan

BUBU naga yang dirampas pihak berkuasa dalam operasi di Perak baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Golongan nelayan mengakui pendapatan mereka terjejas berikutan penggunaan bubu naga yang diharam­kan bagi menangkap hasil laut semakin berleluasa di perairan Perak termasuk di kawasan perairan Kerian di sini.

Nelayan yang ditemui berkata, meskipun pihak berkuasa sentiasa membuat pemantauan di perairan dan melakukan sitaan bubu naga yang dipasang di laut namun aktiviti itu dilihat tidak pernah berkurangan.

Seorang nelayan yang enggan namanya didedahkan berkata, penggunaan bubu naga yang mempunyai banyak injap bukan sahaja memusnahkan ekosistem dan sumber laut dalam jangka masa panjang malah menjejaskan pendapatan mereka.

Katanya, kehidupan nelayan yang menggunakan pukat ha­nyut akan terhimpit kerana pukat mereka akan rosak jika tersangkut pada bubu naga.

Jelasnya, ini menyebabkan mereka terpaksa mengeluarkan wang untuk membaiki pukat.

“Penggunaan bubu naga ini akan merosakkan benih hidup laut dan memberi kesan kepada sumber laut.

“Boleh dikatakan semua hidupan laut tanpa mengira kecil atau besar akan terperangkap dalam bubu naga.

“Pukat naga memberi kesan terhadap ikan kecil dan benih ikan yang tidak sepatutnya ditangkap apabila ia turut terpe­rangkap,” katanya ketika ditemui di Kuala Kurau di sini semalam.

Menurutnya, kerajaan perlu mengkaji semula kebenaran dalam penjualan bubu naga kerana sekiranya tidak dicegah dari sudut penjualan, isu penggunaan bubu naga akan sentiasa berlarutan.

Katanya, peralatan itu telah dilarang penggunaannya namun dari segi penjualan ia tidak diharamkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN