PETALING JAYA: Kebanyakan pelajar universiti dan sekolah serta golongan bekerja yang terlibat dalam kegiatan Darkside di laman sosial mahu merasai kehidupan mewah.
Penganalisis Jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, kumpulan dan individu yang terlibat melakukannya untuk mendapatkan wang dengan cara mudah dan cepat.
“Kebanyakan mereka yang terlibat dengan kegiatan Darkside dalam talian melalui platform media sosial antaranya pelajar universiti dan pelajar sekolah menengah. Mereka gunakan cara ini untuk mendapatkan duit bagi menampung kehidupan seharian serta mahukan kehidupan lebih mewah.
“Saya faham sekarang ekonomi kita dalam keadaan kurang baik dan harga barang semakin mahal, tapi jangan gunakan jalan mudah dengan menjual gambar dan video lucah dan tidak bermoral demi mendapatkan wang.
“Banyak cara lain untuk mendapatkan duit seperti bekerja separuh masa, menjadi promoter di pusat beli-belah dan menjual barang di atas talian seperti Shopee dan Tiktok yang bersesuaian dengan umur dan tahap pendidikan mereka,” katanya ketika dihubungi.
Jelasnya, kerajaan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu bekerjasama dalam membendung perkara sebegini daripada terus merebak dan menjejaskan pandangan orang luar terhadap rakyat Malaysia.
“Kita perlu desak SKMM untuk sekat laman web dan akaun media sosial yang terlibat dengan Darkside kerana ia tidak mendatangkan faedah malah mendatangkan kemudaratan kepada individu tersebut malah turut mempengaruhi orang lain untuk turut serta.
“Bukan itu sahaja, kegiatan Darkside ini turut mengundang jenayah lain seperti merompak, menculik serta merogol,” katanya.
Beliau berpendapat, kerajaan perlu lihat balik undang-undang seksual dan semak balik serta ditambah baik untuk membendung kegiatan ini daripada terus berleluasa.
“Kerajaan perlu lihat balik dari segi hukuman yang dikenakan kepada mereka yang terlibat dalam aktiviti seksual dalam talian ini untuk memberi kesedaran kepada individu berkenaan.
“Kita juga perlu ada undang-undang yang tegas dan kenakan hukuman berat kepada individu ini supaya mereka takut dan berhenti daripada melakukan perkara yang tidak bermoral itu,” katanya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, semakin ramai golongan belia dan dewasa terjerumus dalam sisi gelap media sosial iaitu fenomena Darkside (DS) sehingga sanggup menjual gambar dan video lucah masing-masing bagi menawarkan servis tidak bermoral sama ada untuk mendapat duit atau memuaskan nafsu sendiri.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, kegiatan DS berleluasa di platform Twitter sehingga mendatangkan kebimbangan wujudnya jenayah seksual yang semakin menular di media sosial tersebut.
Sementara itu, Aktivis Sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, SKMM harus lakukan kajian berkenaan akaun media sosial yang terlibat dengan kegiatan seperti ini.
Katanya, mereka perlu lihat sejauh mana penglibatan individu tersebut dalam media sosial dan sejauh mana masalah ini mengganggu serta mempengaruhi orang lain untuk turut serta untuk melihat sejauh mana tindakan boleh diambil kepada individu yang terlibat.
Selain itu, tambahnya, penguatkuasaan undang-undang perlu lebih ketat dan pinda undang-undang yang lemah untuk tangani masalah ini dari terus berlanjutan dalam masyarakat di Malaysia.
Beliau berkata, kita perlu undang-undang yang tegas untuk melindungi masyarakat daripada terdedah dengan perkara ini.
“Cadangan saya, kerajaan juga perlu lakukan kajian secara mendalam tentang undang-undang yang ada dan kenal pasti kelemahan yang ada dalam perundangan di Malaysia.
“Undang-undang yang ketat dan tegas adalah untuk melindungi masyarakat dan pengguna akaun media sosial lain supaya tidak turut terjebak dalam lembah DS,” katanya. – UTUSAN










