PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyerahkan empat watikah lantikan Timbalan Naib Canselor (TNC) yang baharu.
Antaranya yang menerima watikah lantikan tersebut adalah Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi (PPSF) di Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Habibah A. Wahab dilantik menjadi TNC dan Prof. Dr. Shahril Yusof sebagai TNC di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Selain itu, Prof. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dilantik menjadi TNC di Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Prof. Dr. Edy Tonnizam Mohamad pula di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau berharap kesemua TNC baharu dapat menggalas amanah diberikan dengan baik.
“Ucapan tahniah dan selamat maju jaya kepada semua atas pelantikan ini. Semoga amanah yang diberikan ini dapat digalas dengan memberi sumbangan yang terbaik dalam usaha memartabatkan matlamat dan aspirasi institusi pendidikan tinggi negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.