15 guru lakar sejarah menyelam sambut Hari Guru di dasar laut - Utusan Malaysia

15 guru lakar sejarah menyelam sambut Hari Guru di dasar laut

TIGA guru merakam gambar kenangan meraikan Hari Guru di dasar Laut di Pulau Perhentian Besut, Terengganu, semalam.  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Seramai 15 guru di negeri ini melakar sejarah apabila melakukan aktiviti menyelam untuk meraikan sambutan Hari Guru di dasar laut di Pulau Perhentian di sini, semalam.

Lebih menarik guru-guru terlibat memakai pakaian seorang guru iaitu kemeja dan tali leher ketika menyelam.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut, Aznan Abas berkata, guru-guru tersebut menyertai aktiviti menyelam itu bersama seramai 18 penyelam lain yang merupakan kakitangan Koperasi Co-opbank Pertama Malaysia Berhad (CBP).

Malah menjurutnya, penganjuran aktiviti menyelam sempena sambutan Hari Guru 2023 pada 16 April ini melibatkan CBP dan SMK Kuala Besut itu juga berjaya melakar sejarah dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) apabila diiktiraf sebagai penganjur pertama meraikan sambutan Hari Guru di dasar laut.

Katanya, mereka mula menyelam di dasar Pulau Perhentian pada pukul 10.30 pagi dan menghayati keindahan alam dasar laut kira-kira 45 minit.

“Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan di dalam air, skil kemahiran di dasar laut dan mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti rekreasi sukan selam skuba dalam kalangan guru.

“Secara tidak langsung, ia dapat memperkenalkan Pulau Perhentian sebagai lokasi selam skuba dan selam snorkeling yang terkenal dan menjadi tarikan ramai di peringkat antarabangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pengiktirafan itu disahkan oleh wakil MBOR, Lee Pooi Leng yang menyampaikan sijil kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Abdul Muie Ngah selepas selesai program menyelam di Pusat Taman Laut Pulau Perhentian di sini, semalam.

Sementara itu, Abdul Muie yang turut sama menyelam berkata, kerjasama kali pertama itu adalah sebagai penghargaan kepada golongan guru di negeri ini yang telah banyak berjasa dalam bidang pendidikan selama ini.

“Selain mengeratkan hubungan antara agensi dan komuniti, program ini juga diharap dapat meningkatkan lagi motivasi golongan pendidik agar terus melakukan yang terbaik untuk melakar lebih banyak kecemerlangan dalam bidang pendidikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya