KUALA LUMPUR: Duo meningkat naik, Xone, berazam menggunakan platform muzik dan media sosial mereka untuk mempromosikan budaya tempatan kepada negara luar.
Menurut salah seorang anggotanya, Nelysa, kelebihan memiliki pengikut luar negara yang ramai di media sosial membolehkan hasrat tersebut direalisasikan.
“Genre tradisional sangat dekat dengan kami kerana ia didedahkan ketika kami kanak-kanak lagi. Jadi kami mahu promosikannya ke mata dunia, menerusi projek seterusnya.
“Kami sedar, platform maya kami ditonton dan diikuti masyarakat luar negara. Jadi kami guna kelebihan ini untuk promosikan budaya kita,” katanya.
Xone dianggotai dua anak muda, Nelysa dan Ellya. Lagu nyanyian mereka, Lantaklah, ditonton 1.2 juta kali di Youtube.
Kata Ellya pula, sebagai pelapis baharu, mereka mahu menggalas tanggungjawab untuk terus mempromosikan budaya tempatan ke mata dunia.
“Projek kami seterusnya adalah sesuatu yang harus kami banggakan. Malaysia kaya budaya, perlu dipromosikan kepada orang luar.
“Kami mahu kekalkan keaslian, yang betul-betul tradisional. Sedikit penambah baikan adalah bergantung kepada kreativiti. Ini yang kami mahukan,” jelasnya.