PETALING JAYA: Pemimpin Wanita Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) buat pertama kalinya duduk semeja semasa Mesyuarat Perundingan Pimpinan Wanita Kerajaan Perpaduan hari ini.
Mesyuarat itu berlangusng di Bilik Mesyuarat Sekretariat Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur.
Menurut kenyataan Perundingan Pimpinan Wanita Kerajaan Perpaduan, mesyuarat yang dipengerusikan bersama Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Pengerusi Wanita PH, Aiman Athirah Sabu untuk memperkukuh kerjasama serta membina rangkaian kerja wanita merentas parti.
Selain itu, katanya, mereka turut menganjurkan Konvensyen Wanita Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sempena Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia pada 14 Mei ini.
“Konvensyen Wanita Perpaduan turut menggunakan tema yang sama iaitu “Malaysia Madani: Mewajahi Masa Depan Malaysia” dengan memfokuskan kepada agenda ekonomi, pembinaan Negara Bangsa dan peranan wanita dalam konteks Malaysia Madani.
“Majlis Perundingan Pimpinan Wanita Kerajaan Perpaduan berharap melalui konvensyen ini, ia dapat memperkukuh agenda Kerajaan Perpaduan di bawah teraju Malaysia Madani,” katanya.
Yang turut hadir dalam mesyuarat itu adalah Ketua-Ketua Wanita Parti Komponen dalam PH dan BN. – UTUSAN