SUNGAI PETANI: Kedai emas Hajjah Halijah menawarkan upah membeli aset tersebut yang sering digayakan golongan wanita di pagi Syawal serendah RM5.
Cara tersebut bertujuan menggalakkan lebih ramai memiliki emas yang turut membantu sebagai perlindungan dalam kehidupan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif kedai emas Hajjah Halijah, Mohd. Shaiful Hasri Shukri berkata, perhiasan emas bukan sahaja menceriakan golongan wanita, namun lebih penting barangan itu sangat berguna kepada keluarga mereka pada masa hadapan.
“Kita mahu anak-anak simpan aset dalam bentuk emas, kerana apabila memiliknya kita tak perlu mengharapkan orang jika berdepan situasi tidak jangka. Malah generasi dan keluarga kita dilindungi oleh aset emas.
“Sebab itu kedai emas Hajjah Halijah tawarkan ‘upah Rahmah’ yang sangat rendah bergantung kepada reka bentuk dan kerumitan sesuatu produk yang kita sudah laksanakan sebelum ini sebagai antara lain menyahut saranan kerajaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.
Mohd. Shaiful Hasri berkata, sambutan pelanggan terhadap perkhidmatan mereka setakat ini tidak pernah mengecewakan kerana kedai emas Hajjah Halijah bukan sahaja menjual produk tetapi menawarkan pelbagai ganjaran menarik.
“Kami sudah 30 tahun dalam pasaran, saya rasa kedai emas Hajjah Halijah ada pelanggan tersendiri yang mana dulu beli untuk hantaran kahwin, kini datang semula untuk beli untuk anak atau cucu mereka.
“Saya nampak keluarga yang mementingkan aset, nak menjanjikan keceriaan dengan emas ini mereka akan menyimpan dalam bentuk aset. Emas ini umpama pembelajaran kerana ibu bapa mengajar anak mereka sejak kecil lagi sebagai perlindungan,” katanya.
Sementara itu, mengulas sambutan pelanggan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri minggu depan, ujar Mohd. Shaiful Hasri, antara yang menjadi buruan golongan wanita adalah cincin bunga emas dan gelang pintal kasturi untuk digayakan di pagi Syawal.
“Saya harap para pelanggan kedai emas Hajjah Halijah akan berpuas hati dan tersenyum menggayakan produk-produk keluaran kami kerana kalau tanpa emas di pagi raya rasa macam kurang sikit senyuman mereka.
“Diharapkan pelanggan kita bukan sekadar membeli dengan harga tetapi mementingkan kualiti yang saya tahu orang perempuan kebanyakan pandai mengenai emas kerana mereka amat menghayati ilmu berkaitan emas,” katanya.
Selain di Sungai Petani, orang ramai boleh berkunjung ke tiga lagi cawangan kedai emas Hajjah Halijah iaitu di Alor Setar dan Jitra, dekat sini serta di Kangar, Perlis yang menawarkan pelbagai rekaan menarik dan terkini.