UMNO Bahagian Kangar wujudkan portal aduan rakyat - Utusan Malaysia

UMNO Bahagian Kangar wujudkan portal aduan rakyat

FATHUL Bari Mat Jahya (kanan) meninjau portal baharu yang ditubuhkan UMNO Bahagian Kangar dalam membantu menerima aduan-aduan diutarakan rakyat pada Majlis Iftar Ramadan bersama kepemimpinan UMNO Bahagian Kangar di Hotel Regency, Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dalam usaha menyelami permasalahan rakyat dengan lebih dekat, UMNO Bahagian Kangar mengambil inisiatif mewujudkan sebuah portal bagi membantu menerima aduan-aduan yang diutarakan rakyat.

Menerusi penubuhan portal itu, penduduk boleh menyuarakan sebarang aduan membabitkan isu infrastruktur, pendidikan, kerjaya dan hal-hal berkaitan kepentingan rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, jawatankuasa kepimpinan baharu bahagian tersebut memilih menggunakan pendekatan itu dan tidak lagi menumpukan kepada kaedah konservatif dalam mendekati masyarakat.

“Kita telah siapkan portal berkenaan dan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan aduan yang akan diuruskan oleh penyelaras setiap Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya ketika ditemui selepas Majlis Iftar Ramadan bersama kepemimpinan UMNO Bahagian Kangar di Hotel Regency, di sini semalam.

Majlis iftar tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) dan bekas ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Kangar.

Mengulas lanjut mengenai fungsi portal berkenaan, Fathul Bari berkata, segala aduan yang diutarakan akan dikumpulkan untuk diserahkan kepada wakil rakyat dan agensi berkaitan untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, UMNO Bahagian Kangar akan memainkan peranan sebagai pemantau terhadap segala pelaksanaan kerajaan negeri selepas ini.

“Apa yang saya dan parti boleh bantu adalah bagi mengusahakan untuk membantu membawa aduan-aduan membabitkan rakyat kepada pihak berkaitan. Kita bukannya kerajaan negeri dan pihak yang sepatutnya menyelesaikan segala aduan ini adalah wakil rakyat serta agensi berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu, Fathul Bari berkata, portal berkenaan mengandungi empat segmen utama bagi memudahkan akses orang ramai termasuk membabitkan pendaftaran ahli baharu UMNO.

Tambahnya yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, portal tersebut juga telah selesai ditubuhkan dan bakal dilancarkan selepas ini.

“Melalui portal ini, saya sememangnya amat memberi penekanan kepada biro aduan dalam usaha membantu menjaga kebajikan rakyat,” katanya yang memaklumkan orang ramai boleh melayari portal berkenaan menerusi laman web umnokangar.com.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya