PETALING JAYA: Tune Protect berjaya memperluas jenamanya hasil kerjasama dengan Media Mulia Sdn. Bhd. buat julung kalinya melalui program Gerila Mamak Cyber yang menyantuni dan mendekati kalangan pembaca dan masyarakat.
Paling mencuri tumpuan orang ramai adalah kehadiran maskot Mamak Cyber dan maskot Tune Protect iaitu T.P The Thumb yang buat pertama kali digandingkan dan ditampilkan secara bersama.
Malah, program tersebut turut menampilkan penyanyi dan pelakon, Izzue Islam sebagai hos di dua lokasi tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Tune Protect, Jubin Mehta mengakui, pihaknya cukup teruja mengadakan kempen pengaktifan jenama bersama Media Mulia.
“Objektif kami adalah untuk memberitahu orang ramai berkenaan pakej insurans yang ditawarkan. Insurans ini mampu dimiliki oleh semua orang termasuk Generasi Z.
“Justeru, kami sangat teruja dapat berkolaborasi bersama Media Mulia kerana mempunyai peluang untuk mengakses orang ramai secara massa. Kami berharap akan ada lagi kerjasama bersama pada masa akan datang,” katanya.
Program itu diadakan selama dua hari berturut-turut iaitu di Bazar Shah Alam Seksyen 13, Selangor pada 14 April dan Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur pada 15 April.
Kedua-dua lokasi tersebut dipilih sebagai lokasi program kerana bazar tersebut antara yang paling ramai dikunjungi di Selangor dan Kuala Lumpur.
Pelbagai hadiah-hadiah menarik ditawarkan dalam program Gerila Mamak Cyber yang menampilkan produk-produk seperti buku nota, beg, belon serta sampul duit percuma.
Ketua Bahagian Penjenamaan, Komunikasi dan Korporat Sosial Tune Protect, Esther Chew berkata, pengunjung turut berpeluang memenangi hadiah istimewa sekiranya mereka memuat turun aplikasi dan melanggan Tune Protect di telefon pintar mereka.
Katanya, aplikasi tersebut mempunyai beberapa pilihan aplikasi kesihatan kepada penggunanya seperti mengira jumlah langkah dalam sehari, berapa lama penggunaannya tidur dalam sehari dan lain-lain.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan dan Pengarang Kumpulan Media Mulia, Mohamad Azlan Jaafar berkata, penggunaan maskot itu bertujuan memperkenal kedua-dua jenama itu dengan lebih meluas kepada masyarakat.
Katanya, Mamak Cyber yang sudah sinonim dengan Utusan Malaysia sejak 26 tahun lalu menjadi antara pendekatan dalam meneroka pasaran dan mendekati pembaca baharu khususnya dalam kalangan golongan muda kerana mempunyai pengaruh dan pengikutnya tersendiri.
“Walaupun dikenali sebagai syarikat akhbar, saya berharap kami menjadi syarikat yang menyediakan kandungan meluas pada masa depan dan menepati keperluan semua.
“Kita turut berharap lebih banyak kerjasama seperti ini diadakan agar Media Mulia menjadi antara syarikat media terbesar di negara ini,” katanya.
Kartunis Maro atau nama penuhnya, Norkamaro Mohd. Noor yang menghasilkan Mamak Cyber menjelaskan, pemilihan maskot kartun itu dibuat kerana ia sinonim dengan budaya masyarakat di negara ini.
“Orang ramai sering bercerita dan membahaskan pelbagai isu terkini semasa lepak di kedai mamak. Jadi mudah bagi saya mengupaskan isu-isu semasa dalam segmen Mamak Cyber,” katanya.
Pengunjung turut meluahkan rasa teruja dengan kehadiran program Gerila Mamak Cyber di bazar Ramadan.
Malah, ada yang turut menitipkan pesanan supaya dua akhbar terbitan Media Mulia, Utusan Malaysia dan Kosmo! terus menghasilkan berita berkualiti kepada pembaca.
Pengunjung bazar, Juhaina Mohd. Ali, 37, berkata, dia melihat sendiri perubahan berita mutakhir ini dan menyifatkan siaran beritanya semakin menarik mencakupi pelbagai isu berkait rapat dengan pembaca. – UTUSAN










