Tindakan tatatertib jika doktor kontrak di Johor sertai mogok - Utusan Malaysia

Tindakan tatatertib jika doktor kontrak di Johor sertai mogok

LING TIAN SOON (berbaju biru) dan Dr. r Aman meninjau operasi di Bazar Ramadan pusat beli-belah Angsana Mall Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan negeri akan mengambil tindakan tatatertib terhadap doktor kontrak yang didapati terlibat dalam mogok di seluruh negara, esok.

Justeru, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Aman Rabu telah mengarahkan pengarah hospital di setiap daerah untuk memastikan semua doktor kontrak menjalankan tugas mereka seperti biasa.

“Di Johor setakat ini tidak berlaku apa-apa konfrontasi atau mogok. Sekarang ini kita kawal untuk pastikan tiada doktor yang mengambil bahagian dalam mogok tersebut, tetapi di luar pengetahuan kita tidak pasti.

“Kita juga telah menasihati semua pengarah hospital di setiap daerah negeri ini untuk pastikan doktor-doktor mereka hadir ke tempat kerja, esok. Oleh itu, kita beri jaminan bahawa perkhidmatan kesihatan awam di negeri ini akan berjalan seperti biasa, itu jaminan kita,” katanya ditanya tentang kemungkinan berlaku mogok doktor kontrak di negeri ini, esok.

Beliau ditemui selepas mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon dalam operasi di Bazar Ramadan pusat beli-belah Angsana Johor Bahru Mall, di sini hari ini.

Dr. Aman berkata, tindakan tatatertib hanya akan dikenakan sekiranya doktor terbabit masih berdegil dengan terus mengadakan mogok walaupun nasihat dan teguran awal telah diberikan.

“Sekiranya mereka terus melanggar, tindakan tatatertib akan dikenakan, itu arahan kementerian. Tetapi setakat ini semuanya terkawal, permohonan cuti juga seperti biasa, tiada pengambilan cuti mendadak yang direkodkan,” katanya. 

Sementara itu, Tian Soon sedia mengadakan pertemuan dan berbincang dengan doktor-doktor kontrak di negeri ini bagi mendapatkan pandangan dan keluhan mereka.

“Walaupun perkara ini bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, tetapi sebagai wakil kerajaan saya terbuka untuk mendengar rintihan doktor kontrak supaya dapat sampaikan hasrat mereka kepada kementerian. Saya tetap yakin dan percaya bahawa doktor kontrak ini mempunyai hati dan perasaan serta berjiwa rakyat mahu membantu pesakit,” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan seramai 10,000 doktor kontrak di negara ini akan melancarkan mogok bermula esok kerana tidak lagi percaya de­ngan kepimpinan Kementerian Kesihatan dalam menjaga hak mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya