Tiada mogok doktor kontrak di Perlis - Utusan Malaysia

Tiada mogok doktor kontrak di Perlis

SUASANA di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar Perlis berada dalam keadaan terkawal dan tidak terganggu walaupun terdapat usaha penganjuran mogok oleh doktor kontrak. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Operasi di hospital kerajaan di negeri ini berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan perkhidmatan disebalik terdapat usaha doktor kontrak akan melancarkan mogok.

Tinjauan Utusan Malaysia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini mendapati operasi perkhidmatan kepada para pesakit masih berjalan seperti biasa dan tidak berdepan sebarang gangguan atau kelewatan.

Malah, pengawal keselamatan juga dilihat turut mengetatkan kawalan dengan kerap melakukan rondaan di sekitar kawasan hospital terbabit.

Selain HTF, operasi di fasiliti-fasiliti lain seperti klinik kesihatan juga turut berjalan seperti biasa bagi memberikan perkhidmatan kepada pesakit yang memerlukan rawatan.

Difahamkan, tiada mana-mana doktor kontrak bertindak mengambil cuti kecemasan sebagai tanda protes bagi menyokong mogok berkenaan yang dianjurkan selama tiga hari di seluruh negara.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Megat Hashirat Hassan berkata, buat masa ini, beliau belum menerima sebarang laporan berhubung penganjuran mogok di mana-mana fasiliti perubatan di Perlis.

Katanya, beliau berharap agar isu tersebut dapat diselesaikan menerusi rundingan dengan sebaiknya bagi memastikan pesakit yang memerlukan rawatan tidak terjejas.

“Apa yang penting adalah nasib pesakit-pesakit ini dan disebabkan itu saya berharap agar isu ini dapat diselesaikan secara rundingan antara pihak terlibat dengan sebaiknya,” katanya.

Terdahulu, satu kumpulan yang dikenali Mogok Doktor Malaysia kekal dengan pendirian melancarkan mogok di seluruh negara meskipun berdepan risiko dikenakan tindakan tatatertib.

Menerusi penganjuran itu, seramai 10,000 doktor kontrak di negara ini akan melancarkan mogok tersebut kerana tidak lagi percaya de­ngan kepimpinan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menjaga hak mereka.

Kumpulan itu mengambil pendirian berkenaan memandangkan kerajaan masih membisu berhubung beberapa isu termasuklah masalah lantikan ke jawatan tetap yang berlarutan lebih tujuh tahun.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah juga memaklumkan tindakan mogok itu bukan jalan penyelesaian terbaik dan mungkin menyebabkan perkhidmatan kesihatan negara terjejas.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya